Khamis, 5 March 2020 | 5:04pm
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali (dua dari kanan) menyerahkan slip SPM kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali (dua dari kanan) menyerahkan slip SPM kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil

498 calon peroleh semua A di Negeri Sembilan

NILAI: Seramai 498 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Negeri Sembilan berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki daripada jumlah keseluruhan 14,332 dari 116 sekolah yang menduduki peperiksaan berkenaan pada 2019.

Bilangan itu meningkat seramai 58 calon berbanding pada 440 pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 3.47 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata seramai 12,506 atau 87.3 peratus daripada keseluruhan yang mengambil peperiksaan itu pula layak dianugerahkan siji SPM.

Katanya, seramai sembilan orang calon daripada tujuh sekolah berjaya mendapat keputusan paling cemerlang iaitu memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Bagaimanapun bilangan calon yang memperoleh semua A+ dalam mata pelajaran diambil pada 2019 sedikit menurun berbanding 2018 seramai 20 calon.

“Tetapi bilangan yang memperoleh semua A bertambah 69 orang kepada 489 calon berbanding 420 pada 2018,” katanya.

Pkharuddin berkata, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) calon di luar bandar meningkat kepada 4.65 peratus pada tahun lalu berbanding 4.67 peratus pada 2018.

“Selain itu, tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah turut menunjukkan peningkatan prestasi baik sebanyak 0.37 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan SPM 2019, di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah JPNS, Md Fiah Md Jamin dan Pengetua TKC, Anismah M Noh.

Pelajar Terbaik, Darwish Moktar (tengah) gembira menerima keputusan cemerlang dengan mendapat 11 A+ pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak. - Foto Aswadi Alias
Pelajar Terbaik, Darwish Moktar (tengah) gembira menerima keputusan cemerlang dengan mendapat 11 A+ pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak. - Foto Aswadi Alias

TKC turut diumumkan sebagai sekolah terbaik peringkat Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, TKC mencatat sejarah tersendiri kerana mencatatkan GPN yang tertinggi iaitu 1.15, yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Berikutan pencapaian yang amat memberangsangkan itu, Negeri Sembilan berjaya mengekalkan kedudukan tempat kedua peringkat kebangsaan bagi empat tahun berturut-turut selepas Putrajaya yang menduduki tempat pertama.

“Saya berharap kita akan terus berusaha gigih untuk terus mengekal dan meningkatkan lagi pestasi ini untuk tahun-tahun akan datang dan mempertahankan pencapaian Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan.

“Saya menghargai peranan media yang terus memberikan kerjasama dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan demi kepentingan negara,” katanya.

Berita Harian X