Rabu, 4 March 2020 | 9:38am
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali (dua dari kiri) memeriksa minyak masak bersubsidi di Taman Teknologi Pahang (TTP) Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali (dua dari kiri) memeriksa minyak masak bersubsidi di Taman Teknologi Pahang (TTP) Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat

KPDNHEP Pahang rampas 10 tan minyak masak

KUANTAN: Tindakan pemilik kilang membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk jualan kepada premis tanpa lesen di daerah ini, menerima padah apabila diserbu pihak berkuasa semalam.

Dalam serbuan di Taman Teknologi Pahang (TTP) dekat Gambang itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 10 tan minyak masak bernilai RM27,325 dan menahan tiga pekerja tempatan berusia 58 hingga 60 tahun untuk soal siasat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata siasatan mendapati kilang yang mula beroperasi sejak akhir tahun lalu itu aktif membekalkan minyak masak berpaket.

Beliau berkata, rekod jualan pemborong terbabit mendapati mereka mengedar minyak masak secara pukal kepada premis tidak berlesen dan tindakan itu melanggar syarat lesen yang dikeluarkan kerajaan.

Katanya, pemilik kilang terbabit tidak layak membeli minyak masak bersubsidi yang disediakan kerajaan dan tidak boleh menjual kepada pihak yang tidak memiliki lesen atau kebenaran KPDNHEP.

“Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 sabit kesalahan pemilik kilang itu membungkus minyak masak terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi individu atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun dan bagi pertubuhan serta perbadanan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama, kesalahan kedua denda tidak lebih RM5 juta,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di kilang terbabit, semalam.

Ahmad Fitri berkata, kegiatan kilang terletak di TTP Gambang itu terbongkar hasil siasatan dan risikan pihaknya selepas membuat serbuan di sebuah premis tidak berlesen terletak di Lorong Seri Mahkota Aman 1, di sini kelmarin.

Beliau berkata, di kilang terbabit pihaknya menyita sebanyak enam tan minyak masak bersubsidi dan menahan lima pekerja berusia antara 50 hingga 64 tahun di dua lokasi berasingan.

Katanya, Ahad lalu pihaknya juga turut melakukan serbuan di sebuah premis perniagaan di daerah ini dan menyita kira-kira 31 tan minyak masak, turut disita dua lori dan sebuah tangki kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di premis tidak berlesen dan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah.

“Kita percaya tiga premis yang diserbu mempunyai hubungan perniagaan dan aktiviti pasaran di luar Pahang, seterusnya negeri jiran.

“Justeru, kita memberi amaran kepada semua pemilik kilang yang membungkus dan pemborong minyak masak supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Berita Harian X