Rabu, 26 Februari 2020 | 11:15am
PENGUNJUNG melawat gerai pameran pada Program Jom Masuk IPT di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENGUNJUNG melawat gerai pameran pada Program Jom Masuk IPT di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat

20,000 orang kunjungi Program Jom Masuk IPT

KUANTAN: Seramai 20,000 pengunjung terdiri pelajar dan lepasan sekolah mengunjungi Program Jom Masuk IPT di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang, di sini bagi mendapatkan maklumat untuk melanjutkan pengajian.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama UMP disertai 20 Universiti Awam (UA), institusi pengajian tinggi awam (IPTA), IPT swasta, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA JPT, Wahi Nordin, berkata sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan di luar jangkaan.

Katanya, Program Jom Masuk IPT kali ini dibahagikan kepada lapan zon.

UMP adalah zon kedua selepas dianjurkan di Johor minggu lalu dan kemudiannya akan diadakan Taman Tasik Darulaman, Jitra Kedah pada 29 Februari hingga 1 Mac depan.

“Program itu turut diadakan di beberapa lokasi lain seperti di Sabah International Convention Centre (7 dan 8 Mac), Amanjaya Convention Center, Ipoh Perak (14 dan 15 Mac), Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (14 dan 15 Mac), Borneo Convention Centre (21 dan 22 Mac) dan MAEPS, Serdang Selangor (28 dan 29 Mac 2020).

“Kita yakin program yang diadakan tahun ini mampu menarik penyertaan antara 20,000 hingga 25,000 pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu lebih 199,000 permohonan ke IPTA dan ILKA diterima dengan 138,000 daripadanya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA.

Wahi berkata, sebelum calon memohon kursus melalui UPU Online mereka disarankan melayari ePanduan di laman web upu.moe.gov.my dengan melihat program yang ditawarkan 20 UA, kolej matrikulasi, IPG, politeknik, kolej komuniti dan ILKA.

Sementara itu Penolong Pendaftar Jabatan Perhubungan Korporat Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)

Muhammad Hisyamudin Baharudin berkata, Program Jom Masuk IPT yang diadakan memberi peluang kepada golongan pelajar dan lepasan SPM mendapat penerangan tempat untuk mereka melanjutkan pengajian.

Berita Harian X