Sabtu, 22 Februari 2020 | 4:15pm
 Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd Shukri AB Yajid (tengah) bergambar bersama graduan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-26 di Management and Science University (MSU). - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd Shukri AB Yajid (tengah) bergambar bersama graduan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-26 di Management and Science University (MSU). - NSTP/Eizairi Shamsudin

1,769 graduan MSU terima ijazah, diploma

SHAH ALAM: Seramai 1,769 graduan Management and Science University (MSU) menerima ijazah Doktor Falsafah (PHD), Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma pada Majlis Konvokesyen MSU Ke-26 selama dua hari bermula hari ini.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata konvokesyen kali ini menyaksikan 42 peratus daripada keseluruhan graduan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.30 ke atas.

“Saya sangat bangga dengan graduan yang berkonvo kali ini kerana mereka memberikan pencapaian yang sangat bagus dengan 42 peratus daripada jumlah keseluruhan mendapat PNGK, 3.30 ke atas,” katanya kepada media selepas sidang pertama konvesyen di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri memaklumkan MSU terpaksa menangguhkan sesi konvokesyen bagi graduan yang terjejas susulan penularan COVID-19 termasuk dari China dan Sri Lanka.

Katanya, beliau berharap graduan yang terjejas akan dapat menyertai majlis konvokesyen akan datang.

Sementara itu, secara keseluruhan, seramai 48 graduan menerima menerima PHD, 34 graduan ijazah Sarjana; 1,108 graduan ijazah menerima Sarjana Muda dan 579 graduan Diploma.

Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional menyumbang bilangan graduan terbesar iaitu 467 graduan sementara Fakulti Sains Informasi dan Kejuruteraan merekodkan graduan daripada 18 program pengajian (fakulti dengan bilangan program pengajian terbanyak).

Turut diraikan adalah graduan sulung bagi empat program pengajian iaitu Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Fizikal dan Kesihatan) (Kepujian); Sarjana Muda Pendidikan (Sains) (Kepujian); Sarjana Muda Sains Teknologi Farmaseutikal (Kepujian) dan Sarjana Muda Teknologi Muzik (Kepujian).

Lima kategori anugerah khas turut diberikan kepada 47 graduan yang cemerlang iaitu Anugerah Pingat Emas Canselor; Anugerah Presiden; Mohd Shukri Yajid Outstanding Award; Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Berita Harian X