Rabu, 19 Februari 2020 | 5:08pm

Tarik balik cadangan mansuh hutan simpan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor perlu menarik balik cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Hutan simpan itu sudah menjadi khazanah Orang Asli sejak tiga generasi lalu, malah itulah kampung halaman mereka kerana terdapat tujuh perkampungan Orang Asli di situ.

Setiausaha Agung Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail, berkata kawasan itu juga menjadi tempat Orang Asli memburu haiwan liar dan mengutip hasil makanan dari tumbuh-tumbuhan liar dan buah-buahan hutan bagi meneruskan kehidupan.

“Otai Reformis 1998 membantah keras cadangan Kerajaan Selangor untuk mengeluarkan tanah dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan juga cadangan Pemansuhan Status Hutan Simpanan Kekal membabitkan keluasan kira-kira 930.93 hektar hutan simpan itu bagi tujuan pembangunan bercampur.

“Membangunkan kawasan hutan simpan itu akan memusnahkan keadaan semula jadi hutan, habitat, flora dan fauna di dalam hutan simpan itu dan akan menjejaskan mata pencarian mereka.

“Tindakan membangunkan hutan simpan untuk projek pembangunan bercampur ini akan memusnah dan melenyapkan terus khazanah alam semula jadi hutan simpan yang dianggarkan berusia 8,000 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status hutan simpan itu kepada Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.

Selain Otai Reformis 1998, Naib Presiden 1 Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Saha Deva turut menyerahkan memorandum bantahan yang sama mewakili Peka.

Kedua-dua memorandum diterima oleh Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot yang mewakili Loy Sian.

Abdul Razak berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mesti membatalkan notis itu bagi menunjukkan bahawa kerajaan negeri prihatin terhadap Orang Asli.

“Nasihat kami kepada menteri besar, jangan gopoh. Beliau masih muda. Dalam perkara ini, jangan gopoh untuk melenyapkan hutan itu.

“Pada 1994, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu keluarkan warta yang sama seperti kerajaan Selangor hari ini buat, ketika itu mereka mansuhkan 404.69 hektar dalam warta kerajaan. Menteri Besar Selangor hari ini pecah rekod, dua kali ganda daripada UMNO BN buat.

“Jadi, kami beri tempoh tujuh hari kepada kerajaan negeri untuk tarik balik notis ini. Jika tidak kita akan teruskan tindakan seterusnya dengan berhimpun di depan pejabat SUK. Saya ingatkan menteri besar, jangan sebab perkara itu, ini akan menjatuhkan kamu dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengarah perhutanan agar lebih prihatin dengan isu membabitkan hutan dan masyarakat Orang Asli.

“Kita juga mahu menyarankan kepada pengarah hutan jangan jadi ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Kita harapkan kamu sebagai penjaga hutan,” katanya.

Sementara itu, Saha Deva berkata, kawasan yang terbabit dengan cadangan pemansuhan status hutan simpan itu kaya dengan biodiversiti unik termasuk tupai pigmy yang hanya boleh ditemui di tempat itu.

“Lokasi itu satu-satunya kawasan berhutan yang tinggal di daerah Kuala Langat dan juga sangat sensitif.

“Kehilangan hutan simpan ini hanya akan menguntungkan segelintir pihak sahaja jika dibandingkan dengan kesannya untuk jangka masa panjang kelak,” katanya.

SETIAUSAHA Agung Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail (tengah) bersama Naib Presiden 1 Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Saha Deva (kanan) menyerahkan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status hutan simpan kepada Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini. - Foto Faiz Anuar
SETIAUSAHA Agung Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail (tengah) bersama Naib Presiden 1 Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Saha Deva (kanan) menyerahkan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status hutan simpan kepada Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X