Isnin, 17 Februari 2020 | 7:52pm
Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan keatas premis dan farmasi di sekitar pusat bandar, hari ini. - Foto ihsan KPDNHEP.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan keatas premis dan farmasi di sekitar pusat bandar, hari ini. - Foto ihsan KPDNHEP.

Kena denda RM20,000 jual topeng muka RM8.50

TAWAU: Tindakan sebuah farmasi menjual topeng muka pada harga RM8.50 seunit membawa padah apabila dikompaun sebanyak RM20,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Aslani Dabi, berkata tindakan kompaun itu susulan aduan orang awam berkenaan penjualan topeng muka melebihi harga kawalan yang ditetapkan.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah farmasi di Jalan Belian, dekat sini, pada jam 11 pagi.

“Hasil siasatan mendapati premis terbabit menjual barang harga terkawal iaitu topeng muka jenis N95 pada harga RM8.50 seunit sedangkan harga maksimum yang ditetapkan ialah RM6.00 seunit.

“Ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan pihak kami mengeluarkan notis kompaun sebanyak RM20,000 dan pengurus premis terbabit mengakui kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, premis itu diberi tempoh selama 14 hari untuk menyelesaikan kompaun berkenaan.

Sementara itu katanya, menerusi pemeriksaan ke atas beberapa premis atau farmasi yang menjual topeng muka dan sanitizer di sekitar pusat bandar di sini mendapai kebanyakannya kekurangan bekalan produk terbabit berikutan permintaan tinggi daripada pengguna susulan jangkitan COVID-19

“Peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan menjual topeng muka pada harga tinggi semata-mata mahu mengaut keuntungan mudah.

“Peniaga juga diberi amaran supaya jangan menjual barang dengan harga yang tidak munasabah, menyorok atau menahan barangan seperti topeng muka daripada sampai ke pasaran dengan tujuan untuk memanipulasi harga,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna supaya membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya mereka mendapati ada peniaga menjual topeng muka yang melebihi harga yang ditetapkan.

Berita Harian X