Rabu, 12 Februari 2020 | 4:34pm
 Fathin (tengah) melihat replika cek Faedah Pengurusan Jenazah arwah bapanya yang dibayar oleh PERKESO kepada ibu tirinya, Eni (kiri) sambil diperhatikan ibunya, ,Manesh selepas majlis penyampaian pampasan itu di Wisma PERKESO Kedah, hari ini. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman
Fathin (tengah) melihat replika cek Faedah Pengurusan Jenazah arwah bapanya yang dibayar oleh PERKESO kepada ibu tirinya, Eni (kiri) sambil diperhatikan ibunya, ,Manesh selepas majlis penyampaian pampasan itu di Wisma PERKESO Kedah, hari ini. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Wanita bermadu kini kongsi pencen penakat arwah suami

ALOR SETAR: Dua wanita yang bermadu bersyukur menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas suami mereka meninggal dunia akibat barah esofagus pada 30 Januari lalu.

Manesh Zakaria, 46 dan Eni Sulaeman, 34, masing-masing menerima pencen bulanan masing-masing sebanyak RM281.38 sebulan dan RM1,000 wang pengurusan jenazah, manakala lima anak mereka menerima pencen bulanan sebanyak RM75.03 setiap seorang sehingga berusia 21 tahun.

Manesh berkata, dia tidak menyangka arwah suaminya Ahmad Fairuz Ibrahim, 46, mencarum dengan PERKESO, walaupun bekerja sendiri ketika membuka bengkel baiki kereta.

“Saya hanya suri rumah dan mempunyai empat orang anak, duit pencen bulanan yang kami terima dapatlah serba sedikit mengurangkan beban perbelanjaan sekolah anak-anak selepas ini.

“Anak sulung saya, Fathin Maisarah, 23, baru saja tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), selepas ini dapatlah dia membantu keluarga dan adik-adiknya selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah berkenaan di Wisma PERKESO di sini, hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf.

Sementara itu, Eni berkata, dia akan menggunakan wang pencen bulanan itu untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menyara anak-anak.

Katanya, dia juga bersyukur kerana tidak terkecuali menerima pencen itu termasuk dua orang anaknya yang berusia 10 dan lapan tahun.

“Saya berkahwin dengan arwah pada 2009, saya tak sangka dia akan pergi dulu meninggalkan kami semua, saya tak akan sia-siakan wang pencen ini dan akan digunakan sebaik mungkin untuk membesarkan anak-anak,” katanya yang tinggal di Taman Wira Mergong di sini.

Sementara itu, Pengarah PERKESO negeri, Shaharuddin Waled, berkata pihaknya menyasar 56,000 orang bekerja sendiri (OBS) di negeri ini membuat caruman mengikut Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), tahun ini.

Katanya, sehingga kini seramai 2,207 OBS seluruh negeri berdaftar dengan skim berkenaan.

Media sebelum ini pada 11 September tahun lalu melaporkan Fathin memuat naik ciapan dan gambar bapanya di Twitter sebagai ikhtiar mendapatkan bantuan demi meringankan beban keluarga.

Menerusi ciapan itu, Fathin berkongsi keadaan bapanya yang menghidap barah esofagus dan terpaksa minum susu menerusi saluran tiub disambung menerusi hidung.

Berita Harian X