Isnin, 10 Februari 2020 | 11:02am
Kakitangan Jabatan Perikanan Pahang bersama ikan tamalian di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Perikanan Pahang bersama ikan tamalian di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Jangan tangkap ikan tamalian dalam tiga bulan

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti menangkap ikan tamalian atau temoleh (prabarbus jullieni) di sungai utama di negeri ini bermula Februari hingga April.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman, berkata larangan itu disebabkan tempoh berkenaan adalah musim ikan tamalian bertelur dan akan berada kawasan air cetek secara berpasangan.

“Ikan itu boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) tetapi jumlahnya kini semakin berkurangan. Tidak mustahil ia akan berhadapan risiko kepupusan jika ditangkap secara tidak terkawal terutama pada musim bertelur.

“Sifat ikan tamalian atau temoleh akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan dan memudahkan nelayan darat menangkapnya dengan hanya menggunakan jaring hanyut,” katanya.

Azahari berkata, ikan tamalian adalah spesies ikan sungai yang hanya terdapat di Pahang dan Perak. Justeru permintaan terhadap ikan berkenaan begitu tinggi walaupun harganya agak mahal.

“Pihak kami memasang papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada pihak berkaitan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian selama tiga bulan.

“Kegiatan menangkap ikan tamalian yang banyak terdapat di tiga sungai terbabit akan berleluasa setiap kali tiba musim bertelur, permintaan menggalakkan dengan harga tinggi mencapai RM50 sekilogram merancakkan lagi memburu ikan berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan tamalian dalam tempoh larangan boleh dikenakan kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

Sebelum ini, pihaknya pernah mengesan nelayan darat di beberapa kampung tradisional seperti Kampung Pagi dan Kampung Durian Hijau di Jerantut; Kampung Paloh Hinai di Pekan; Lubuk Paku dan Kampung Pejing di Maran yang aktif melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian.

Tegas Azahari, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbukti bersalah dan hukuman akan dikenakan tanpa sebarang alasan dan pengecualian.

Berita Harian X