Khamis, 6 Februari 2020 | 5:10pm
CHAI Tung (tengah) menyerahkan cek Faedah Pencen Penakat PERKESO kepada Sinn Yee (Kanan) di kediamannya di Taman Molek. NSTP/Omar Ahmad
CHAI Tung (tengah) menyerahkan cek Faedah Pencen Penakat PERKESO kepada Sinn Yee (Kanan) di kediamannya di Taman Molek. NSTP/Omar Ahmad

'Tak sangka terima pencen Penakat PERKESO suami sebegini cepat'

JOHOR BAHRU: “Saya tidak sangka menerima Faedah Pencen Penakat PERKESO mendiang suami secepat ini,” kata Ding Sinn Yee, 33, selepas menerima faedah pencen itu sebanyak RM1,846.65 di rumahnya di Taman Molek, di sini, pagi tadi.

Menurut Sinn Yee, mendiang suaminya, Lee Han Wei, 35, yang bekerja sebagai pegawai pemasaran ditemui meninggal dunia 7 Januari lalu dalam kereta di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, selepas kematian suaminya, pihak syarikat tempat suaminya bekerja ada memintanya berhubung dengan PERKESO.

“Saya menghubungi PERKESO berkaitan pencen yang boleh diterima kira-kira seminggu selepas kematian suami.

“Saya tidak sangka akan dapat faedah pencen Penakat secepat ini. Ini sangat membantu saya yang tidak bekerja untuk membesarkan dua anak berumur 13 dan 5 tahun,” katanya.

Penyerahan cek Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat disampaikan Pengarah PERKESO negeri, Tong Sing Chuang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Liow Chai Tung.

Menurut Sing Chuang, selain bayaran Faedah Pencen Penakat, pihaknya turut membayar faedah Pengurusan Mayat kepada Sinn Yee sebanyak RM2,000.

“Sinn Yee dan anaknya layak menerima pencen faedah Penakat bernilai RM1,846.65 setiap bulan sepanjang hayat mereka kerana suaminya adalah pencarum aktif,” katanya.

Berita Harian X