Isnin, 3 Februari 2020 | 9:53pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

4 minggu baik pulih tapak pelupusan

JOHOR BAHRU: Tapak pelupusan sampah berkeluasan 2.43 hektar yang terbakar di Jalan Nibong, Tanjung Langsat, dekat sini, semalam, dijangka mengambil masa kira-kira empat minggu untuk dibaik pulih sebelum boleh beroperasi seperti sedia kala.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata operasi pemadaman sepenuhnya dilaksanakan membabitkan proses penyejukan tapak dan kerja membaikpulih tapak berkenaan.

“Justeru itu, anggaran masa sehingga empat minggu diperlukan bagi memastikan operasi berkenaan dilaksanakan dengan efektif.

“Sehingga kini usaha pemadaman sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, manakala pemantauan kualiti udara secara berterusan dilakukan Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor.

“Bagi melancarkan operasi pemadaman sepenuhnya, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) selaku pihak pengurusan tapak pelupusan berkenaan sudah mendapat kelulusan daripada SWCorp Negeri untuk melencongkan operasi pelupusan sampah dari Tapak Pelupusan Tanjung Langsat ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong selama sebulan bermula 2 Februari sehingga 2 Mac depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.11 petang semalam berhubung kebakaran berkenaan.

Katanya, makluman awal diterima kebakaran dipercayai bermula sejak jam 4.25 pagi dan sehingga kini operasi masih dijalankan.

“Keanggotaan turut dihadiri agensi kerajaan termasuk MPPG yang turut memberikan bantuan lojistik iaitu sebuah jengkaut dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Berita Harian X