Khamis, 30 Januari 2020 | 4:54pm
Gambar fail, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Gambar fail, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jangan kaut untung jual bahan penjagaan virus

KUCHING: Pengilang, pemborong dan peruncit diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan daripada penularan coronavirus (2019-nCoV) untuk mengaut untung dengan menaikkan harga penutup mulut dan hidung serta produk pencuci tangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang berbuat demikian mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, ketika ini lima jenis penutup mulut dan hidung disenaraikan sebagai barangan harga terkawal mengikut akta berkenaan.

“Sebarang pelanggaran akta boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat yang didapati bersalah pula boleh didenda RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, di sini, hari ini.

Chieng Jen berkata, walaupun yakin kebanyakan peniaga beretika, namun dikhuatiri akan ada yang sanggup mengaut untung susulan permintaan tinggi terhadap produk berkenaan ketika ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barangan berkaitan untuk membuat aduan segera di pejabat KPDNHEP berdekatan atau menyalurkan maklumat menerusi portal e-aduan@kpndhep.gov.my.

Harga yang ditetapkan untuk penutup mulut dan hidung untuk pembedahan atau perubatan jenis satu lapis adalah RM5 sekotak bagi harga borong dan RM7 untuk harga runcit.

Bagi penutup mulut dan hidung pembedahan atau perubatan jenis dua lapis pula ditetapkan pada harga RM8 sekotak untuk harga borong dan RM10 sekotak manakala bagi penutup mulut dan hidung tiga lapis berharga RM25 sekotak dan bagi penutup mulut N95 dijual pada harga borong RM100 sekotak.

Berita Harian X