Ahad, 26 Januari 2020 | 9:24pm
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Hakka, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Coronavirus: Penerbangan dari Sabah ke Wuhan dihentikan

KOTA KINABALU: Semua penerbangan dari Sabah ke Wuhan, China dihentikan berikutan wabak coronavirus baharu (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak berkenaan dapat dikawal.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong ke Sabah, Christina berkata, tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong, khususnya daripada China.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak coronavirus,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak coronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong, kita juga buat pemeriksaan terhadap rakyat kita yang baru balik dari melancong. Kita tidak tahu dari mana mereka melancong. Oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai beberapa hotel di Sabah mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya untuk menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata, pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting menjaga di pintu masuk Sabah. Namun, saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan untuk membendung masalah ini,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X