Rabu, 22 Januari 2020 | 9:03pm
Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng (kanan) menyerahkan pek bantuan bencana alam kepada wakil IMARET. - NSTP/Ihsan Yayasan MRCB
Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng (kanan) menyerahkan pek bantuan bencana alam kepada wakil IMARET. - NSTP/Ihsan Yayasan MRCB

Yayasan MRCB serah 300 pek bantuan bencana alam

KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap nasib keluarga yang ditimpa musibah, Yayasan MRCB, semalam menyerahkan 300 pek bantuan bencana alam kepada Pasukan Penyelamat dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET).

Pek bantuan berkenaan antara lain berisi selimut, tuala mandi, baldi, selipar, pemotong kuku, kit pembersihan, pek tisu, sabun, berus dan ubat gigi.

Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng, berkata ia bertujuan meringankan beban golongan yang terbabit, khususnya apabila berlaku bencana seperti banjir.

“Pek bantuan bencana ini lebih kepada pek kebersihan dan ia sangat diperlukan sekiranya berlaku sesuatu perkara tidak diingini.

“Yayasan MRCB komited membantu mereka yang kurang bernasib baik dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan dalam membantu kerja-kerja kemanusiaan serta bantuan bencana alam,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai IMARET, Jasmine berkata, ia adalah persatuan yang terdiri daripada sekumpulan doktor perubatan, pakar perubatan dan sukarelawan yang terbabit dalam usaha memberi bantuan perubatan dan kemanusiaan apabila berlaku bencana alam di dalam dan luar negara.

Pada 2019, katanya, Yayasan MRCB menjalankan pelbagai inisiatif bagi membela nasib pelajar yang kurang bernasib baik, selain membantu golongan yang lebih memerlukan.

Katanya, beberapa program dijalankan seperti `Balik ke Sekolah’, klinik UPSR, program makanan selama setahun untuk 384 pelajar serta sumbangan mesin braille kepada pelajar golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, selain sumbangan buku dan kalkulator kepada 600 pelajar asnaf.

“Kami juga membaik pulih dan menaik taraf beberapa sekolah serta membantu mereka daripada golongan B40.

“Kami turut menyediakan penginapan sementara secara percuma kepada pesakit yang berulang-alik ke hospital termasuk waris pesakit yang menjaga di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Berita Harian X