Rabu, 22 Januari 2020 | 1:00pm
JABATAN Air Negeri Sabah (JANS).
JABATAN Air Negeri Sabah (JANS).

Potong sepuluh sambungan air haram di kampung setinggan

SANDAKAN: Sepuluh sambungan paip air haram dikesan di tiga kampung setinggan di Batu Sapi, dalam satu Op Perobohan dan Pemantauan Penyambungan Haram, di sini, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan Kampung Di Sayang, Kampung Lupak Meluas dan Kampung Bakau.

Jurutera, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan, Ishar Hamka berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat yang diterima berkaitan kegiatan curi air berdekatan kawasan setinggan.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan operasi bersama beberapa agensi lain.

“Hasilnya, sebanyak empat sambungan haram tanpa meter yang disambung secara terus daripada paip penyambung dikesan di sekitar tepi jalan Kampung Di Sayang Batu Sapi.

“Dua sambungan haram lagi dikesan disambung dari paip penyambung di kawasan Kampung Bakau, manakala empat lagi sambungan haram dikesan disambung terus ke paip utama di Kampung Lupak Meluas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, tindakan pemotongan sepuluh sambungan haram itu berjalan dengan baik.

“Beberapa gulung poli paip pelbagai saiz dan alat pengepit paip turut dirampas dan dibawa ke pejabat JANS Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kesalahan itu di bawah Seksyen 49 (b) dan Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun.

“Justeru, pihak kami menegaskan supaya semua pengguna dapat mematuhi undang-undang sebagaimana yang sudah dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan dengan denda berat, jika didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon kerjasama dari orang ramai untuk memaklumkan sekiranya berlaku sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air, dengan menghubungi talian kecemasan JANS Sandakan 1300-888855.

Berita Harian X