Selasa, 21 Januari 2020 | 12:27pm

PERKESO Pahang bayar tuntutan caruman RM30.6 juta tahun lalu

KUANTAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang memproses 10,140 kes membabitkan tuntutan bayaran berjumlah RM30.6 juta sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,406 kes tuntutan adalah kes kemalangan, sakit dan kematian yang berjumlah RM27.3 juta manakala 2,734 pula adalah pemberhentian kerja yang membabitkan bayaran sebanyak RM3.3 juta.

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar, berkata sehubungan itu pihaknya menitikberatkan kebajikan pencarum dan berharap individu yang belum mencarum supaya berbuat demikian.

Katanya, caruman berkenaan akan dapat meringankan beban pencarum serta ahli keluarga mereka jika berdepan dengan musibah.

“Oleh itu, kami meminta pencarum membuat semakan untuk memastikan caruman dibuat oleh majikan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Cek Faedah PERKESO Orang Berinsurans sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma PERKESO Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Pada program itu, seramai 12 orang menerima faedah PERKESO yang membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM419,231 bagi kes hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen ilat, bantuan ilat dan pencen penakat.

Mengulas pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada 19 sektor tidak formal berkuat kuasa tahun ini, Tarmizi berkata, pihaknya sudah mula memperluaskan sesi penerangan kepada golongan sasaran.

Katanya, lebih 60 program sudah dilakukan bermula awal Januari lalu membabitkan cawangan Kuantan, Bentong dan Temerloh.

“Sektor itu merangkumi pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, penternakan dan pengeluaran ternakan, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan dan aktiviti pengilangan produk.

“Selain itu, mereka yang bekerja dalam sektor pembinaan, menjaja dan berniaga, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat, pengumpulan dan pemprosesan data dan perkhidmatan layak mencarum skim terbabit.

“Melalui skim itu, empat pelan caruman ditawarkan kepada individu bekerja sendiri demi perlindungan dan tanggungan mereka.

“Empat pelan terbabit merangkumi pendapatan bulanan pilihan yang diinsuranskan pada kadar RM1,050; RM1,550; RM2,950 dan RM3,950 dengan caruman bermula serendah RM13.10 sehingga RM49.40 secara bulanan,” katanya.

Berita Harian X