Isnin, 20 Januari 2020 | 10:04pm
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights. Turut bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (empat kiri) dan pelantikan Datuk Zazali Salehudin sebagai Datuk Bandar Seremban (kanan). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Seremban diisytiharkan bandar raya

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights di sini, malam ini.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara pengurniaan taraf bandar raya kepada Tuanku Muhriz sebelum baginda menyerahkannya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Baginda kemudian mengisytiharkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) digabungkan menjadi MBS berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Istiadat itu diteruskan apabila Aminuddin menghadap Tuanku Muhriz serta membaca Surat Cara pelantikan Datuk Zazali Salehudin sebagai Datuk Bandar Seremban yang pertama sebelum beliau mengadap dan melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia.

Tuanku Muhriz kemudian berkenan memakaikan kalung jawatan serta menyerahkan Cokmar kepada Zazali.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan pelantikan Datuk Zazali Salehudin sebagai Datuk Bandar Seremban pada majlis mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights. Hadir sama, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Yang turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut mencemar duli dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin, serta Tunku Zain Al’Abidin.

Yang turut hadir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta barisan pimpinan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui berkata, peningkatan status Seremban sebagai sebuah bandar raya bakal memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita yakin kewujudan MBS akan memberi impak positif bagi merangsang perkembangan ekonomi dan pembangunan masyarakat dengan menyentuh pelbagai aspek sekali gus mendukung dasar yang direncanakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Dengan pengisytiharan MBS, diharap akan berlaku perubahan sikap dan cara berfikir dalam kalangan semua anggota petugas seterusnya memberi kesan kepada peningkatan profesionalisme dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Berita Harian X