Jumaat, 10 Januari 2020 | 10:24am
Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Rosilan Said (kanan) turut sama menanam pokok Meranti di kawasan bekas kebun sayur di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. - Foto Mohd Rafi Mamat
Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Rosilan Said (kanan) turut sama menanam pokok Meranti di kawasan bekas kebun sayur di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. - Foto Mohd Rafi Mamat

Tanam 3,500 pokok dalam masa tiga hari

CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak 3,500 pelbagai jenis pokok ditanam dalam masa tiga hari pada fasa pertama program pemulihan bekas tapak kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, di sini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata, kawasan seluas tujuh hektar itu ditanam dengan pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan.

Menurutnya, aktiviti menghijaukan kawasan tadahan air tanah tinggi terbabit bermula Selasa lalu membabitkan lebih 100 kakitangan Bahagian Pembangunan JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, PHD Bentong, Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh, PHD Cameron Highlands dan Unit Penguatkuasa Pahang Barat.

Katanya, program tanaman di HSK Sungai Ichat akan dilakukan secara berterusan membabitkan beberapa fasa dan aktiviti terbabit akan turut dilakukan syarikat swasta pada masa akan datang.

“Dalam yang singkat tugas itu dapat diselesaikan walaupun di peringkat awal dijangka akan mengambil masa seminggu.

“Program menghijaukan semula HSK Sungai Ichat yang sebelum ini tanah kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan terus terpelihara seterusnya mengelak berlakunya banjir lumpur dan hakisan.

“HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar sebelum ini diteroka secara haram dijadikan kebun sayur hingga menyebabkan berlakunya pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas operasi bersih tahun lalu pihaknya mengadakan program penghijauan dengan menanam sebanyak 12,500 pelbagai spesies pokok di kawasan seluas 16 hektar.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya memandang serius perbuatan meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini bagi tujuan aktiviti kebun sayur.

Katanya, tindakan tegas menanti pihak terbabit yang bersikap degil dan tidak menghormati undang-undang.

“Operasi Lestari yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa diharap dapat memberi kesedaran supaya tidak sesuka hati meneroka kawasan hutan simpan.

“Kemusnahan alam semula jadi pasti berlaku sekiranya kerajaan tidak bertindak tegas dan sektor pelancongan di Cameron Highlands akan terjejas apabila peneroka hutan berlaku secara tidak terkawal,” katanya.

Tinjauan mendapati Operasi Lestari masih terus dijalankan dengan menumpukan pada aktiviti meroboh binaan yang terdapat dalam kawasan kebun terbabit.

Berita Harian X