Selasa, 7 Januari 2020 | 11:12am
MENTERI Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob ditemui pemberita pada majlis taklimat media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Bongawan, malam tadi. - Foto Edmund Samunting
MENTERI Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob ditemui pemberita pada majlis taklimat media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Bongawan, malam tadi. - Foto Edmund Samunting

Menteri baharu perlu beri perhatian sekolah daif Sabah

BONGAWAN: Kerajaan negeri berharap Menteri Pendidikan baharu yang akan dilantik menggantikan Dr Maszlee Malik lebih memahami aspirasi rakyat Sabah untuk menikmati kemudahan pendidikan lengkap dan selesa.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata menteri baharu itu perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah pendidikan di negeri ini terutama berkaitan isu sekolah daif.

Jelasnya, jumlah sekolah daif di Sabah dijangka terus bertambah selagi bangunan sekolah daripada kayu dibiarkan dan tidak diganti dengan bangunan baharu.

Katanya, sebanyak 578 sekolah daif perlu diberi perhatian daripada 1,300 sekolah di seluruh negeri itu.

“Sebanyak 71 sekolah tahun ini dan 24 sekolah tahun lalu yang dibaiki menerusi projek sekolah daif di Sabah masih kecil, berbanding jumlah keseluruhan sekolah yang berdepan keadaan itu.

“Kita risau kerana banyak sekolah kayu di Sabah, kalau tidak diganti akan jadi daif. Ini yang kita minta Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan lihat,” katanya kepada pemberita pada majlis taklimat media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di sini, malam tadi.

Selain isu sekolah daif, Dr Yusof berkata, Sabah juga masih berdepan kekurangan bangunan sekolah menyebabkan masih ada sembilan sekolah menumpang di seluruh negeri.

Pada masa sama katanya, sekolah dua sesi juga terpaksa dilaksanakan berikutan kekangan bilik darjah untuk menempatkan terlalu ramai murid dan pelajar dalam satu masa.

“Bangunan sekolah dikongsi bersama murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

“Ini menunjukkan Sabah memerlukan sekolah baharu termasuk untuk mengatasi sekolah terlalu sesak yang terpaksa diadakan dua sesi, pagi dan petang.

“Bayangkan ada sekolah pelajarnya hingga 2,700 orang, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agaseh, Lahad Datu dan 2,400 orang di SMK Tansau, Putatan.

“Sekolah itu terlalu ramai pelajar tetapi kemudahan sama. Sebab itu ada yang terpaksa belajar di stor dan surau. Jadi kita harap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memahami perkara ini,” katanya.

Dr Yusof berkata, pihaknya menyokong jika Dr Mahathir memegang sementara Kementerian Pendidikan yang kosong selepas penyandangnya, Maszlee meletak jawatan pada 3 Januari lalu sebelum pelantikan menteri baharu.

“Jadi kita berharap sangat agar Perdana Menteri memahami dan memberi perhatian kepada masalah infrastruktur pendidikan kita di Sabah kerana ia sudah sangat mendesak ketika ini,” katanya.

Berita Harian X