Ahad, 5 Januari 2020 | 1:18pm
Gambar fail, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JHNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (kanan) memeriksa balak yang diterbang di kawasan Hutan Simpan Chini Tambahan yang terbabit dengan cubaan memindahkan 2,400 balak pelbagai jenis tanpa lesen bernilai RM3 juta dalam satu Operasi Ganyang yang disertai 20 anggota Unit Penguatkuasaan (UPK) Pahang Timur dan Barat. - Foto Mohd Rafi Mamat
Gambar fail, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JHNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (kanan) memeriksa balak yang diterbang di kawasan Hutan Simpan Chini Tambahan yang terbabit dengan cubaan memindahkan 2,400 balak pelbagai jenis tanpa lesen bernilai RM3 juta dalam satu Operasi Ganyang yang disertai 20 anggota Unit Penguatkuasaan (UPK) Pahang Timur dan Barat. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pelbagai spesies pokok pulihkan bekas kebun sayur haram

KUANTAN: Sebanyak 3,500 pelbagai jenis pokok akan ditanam pada fasa pertama program pemulihan bekas tapak kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, seluas tujuh hektar kawasan terbabit akan ditanam dengan pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan.

Katanya, program menghijaukan kawasan tadahan air tanah tinggi terbabit bermula minggu ini membabitkan lebih 100 kakitangan Bahagian Pembangunan JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, PHD Bentong, Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh, PHD Cameron Highlands serta Unit Penguatkuasa Pahang Barat.

Katanya, program tanaman di HSK Sungai Ichat akan dilakukan secara berterusan membabitkan beberapa fasa dan aktiviti terbabit akan disertai syarikat swasta pada masa akan datang

“Program menghijaukan semula HSK Sungai Ichat yang sebelum ini tanah kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan terus terpelihara, seterusnya mengelak berlakunya banjir lumpur dan hakisan.

“HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur hingga menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat,” katanya di sini hari ini.

Selepas operasi pembersihan tahun lalu, pihaknya mengadakan program penghijauan dengan menanam 12,500 pelbagai spesies pokok di kawasan seluas 16 hektar.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya memandang serius perbuatan meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini bagi dijadikan kebun sayur dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terus melanggar undang-undang.

“Operasi Lestari kerajaan negeri yang disertai pelbagai agensi penguat kuasa diharap memberi kesedaran kepada pihak terbabit supaya tidak sesuka hati meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini.

“Kemusnahan alam semula jadi akan berlaku jika kerajaan tidak bertindak tegas manakala sektor pelancongan di Cameron Highlands turut terjejas kerana penerokaan hutan secara tidak terkawal,” katanya.

Berita Harian X