Rabu, 25 Disember 2019 | 2:47pm
Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood memulakan kayuhan solo jelajah Selaran Thailand sempena Visit Malaysia 2020 (VM 2020) dan Visit Kelantan 2020 di pekarangan Pejabat Tourism Malaysia Kelantan hari ini. - Foto BERNAMA
Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood memulakan kayuhan solo jelajah Selaran Thailand sempena Visit Malaysia 2020 (VM 2020) dan Visit Kelantan 2020 di pekarangan Pejabat Tourism Malaysia Kelantan hari ini. - Foto BERNAMA

Warga emas kayuh ke Songkla

KOTA BHARU: Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood memulakan kayuhan solo selama lapan hari sejauh 600 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Songkla, Thailand bermula hari ini.

Wan Hashim atau lebih mesra dikenali Pak Wan berusia 74 tahun memulakan kayuhan solo itu buat kali ke sembilan dalam tempoh lima tahun, untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 dan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2020.

Wan Hashim Wan Mahmood (tengah) bergambar bersama ahli keluarganya sebelum memulakan kayuhan solo jelajah Selatan Thailand. - Foto BERNAMA
Wan Hashim Wan Mahmood (tengah) bergambar bersama ahli keluarganya sebelum memulakan kayuhan solo jelajah Selatan Thailand. - Foto BERNAMA

Pak Wan berkata, untuk kayuhan berkenaan dia membawa kain rentang dan akan berhenti di beberapa destinasi untuk membuat rakaman video bersama penduduk.

“Saya akan merakam video promosi TMM 2020 dan TMK 2020 bagi menarik pelancong negara jiran datang ke negara ini, termasuk Kelantan. Saya akan buat rakaman video sekerap yang mungkin supaya mesej sampai kepada pelancong.

“Kayuhan solo ini dilakukan selama lapan hari bermula dari Kota Bharu ke Rantau Panjang seterusnya ke Songkla, Thailand dan kembali ke Rantau Panjang pada 1 Januari 2020,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin melepaskan Misi Kayuhan Solo Jelajah Selatan Thailand di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.

Ibunya, Hasmah Che Ahmad, 90, dan isteri, Faridah Daud, 68, turut hadir memberi kata-kata semangat kepada Pak Wan sebelum perlepasan.

Mengulas lanjut, Pak Wan berkata, bagi memastikan misi berkenaan berjaya, sejak sebulan lalu dia melakukan kayuhan sekurang-kurangnya sejauh 40 km dari Kota Bharu ke Pasir Mas atau seminggu sekali ke Rantau Panjang dan Sungai Golok, Thailand.

“Kayuhan ini dilakukan bagi memastikan stamina saya kuat dan persediaan fizikal serta mental kerana perlu berdepan pelbagai cabaran terutama keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Walaupun cuaca dijangka hujan dan ribut, tetapi saya akan tetap meneruskan misi kayuhan bagi memastikan ia tamat mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Hafiz berkata, program itu kerjasama di antara Pejabat Tourism Malaysia Kelantan bersama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.

“Program ini bertujuan mempromosikan TMM 2020 dan TMK 2020 bagi menarik pengunjung masuk ke negara ini serta Kelantan sekali gus meningkatkan bilangan pelancong,” katanya.

Berita Harian X