Isnin, 23 Disember 2019 | 8:52pm
CHARLES Santiago.
CHARLES Santiago.

PBT seluruh Selangor diminta kuatkuasakan peraturan perangkap gris, minyak

CYBERJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor membuat pemantauan, seterusnya menguatkuasakan peraturan supaya semua restoran dan bengkel menggunakan perangkap gris atau minyak di premis masing-masing.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, SPAN juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama-sama PBT memantau aktiviti industri haram, khususnya di kawasan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA), termasuk memeriksa bengkel kereta besar.

“Kita dapati dalam lurang (lubang periksa) ada sisa lemak, ia mesti datang dari restoran. Jadi kita minta PBT pantau, kalau restoran tak guna perangkap gris atau minyak, mereka mesti dikompaun atau dikehendaki menyediakan perangkap itu segera.

“Kita tak mahu sisa itu terus masuk ke dalam longkang dan akhirnya mencemarkan sungai serta menjejaskan bekalan air bersih,” katanya kepada media di pejabat SPAN di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPAN memaklumkan, pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab, dikenal pasti punca pencemaran bau pada sumber bekalan air ke LRA Sungai Semenyih.

Berikutan itu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, bagi mengelakkan air terawat yang disalurkan kepada pengguna, terjejas sekali gus menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Charles berkata, siasatan IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, dianggarkan 50 meter padu sisa haram yang dikenal pasti dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk minyak hitam, bahan lemak makanan dan sisa industri.

“Kita meminta IWK untuk bekerjasama dengan JAS, seterusnya menaik taraf kemudahan kawasan sekitar LRA agar pemantauan lebih ketat 24 jam dapat dilakukan di setiap lurang termasuk menempatkan kamera litar tertutup (CCTV).

“Selain itu, kita minta IWK buat perancangan komprehensif untuk seluruh Selangor bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berhampiran LRA supaya masalah pencemaran air ini tak berulang,” katanya sambil memaklumkan SPAN sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbaharu itu.

Ditanya adalah akta sedia ada tidak mencukupi untuk menimbulkan rasa gerun kepada mereka yang mencemarkan sumber air, Charles berkata, undang-undang sedia ada sudah cukup kuat iaitu hukuman mati mandatori kepada pihak terbabit cuma ia tidak dilaksanakan.

Mengenai adakah wajar pesalah membayar kerugian kepada pengguna terjejas, beliau menegaskan, pengguna boleh menggunakan hak mereka untuk membawa kes berkenaan ke mula pengadilan bagi mendapatkan pampasan sewajarnya.

Berita Harian X