Sabtu, 21 Disember 2019 | 5:01pm
ANGGOTA APM ketika melaksanakan operasi memindah penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar Membakut. NSTP/Ihsan APM.

Banjir di Membakut semakin pulih

BEAUFORT: Hanya 18 kampung di sini yang masih digenangi air, manakala banjir di 19 lagi kampung di kawasan Membakut sudah pulih sepenuhnya bermula hari ini.

Ia menjadikan tinggal 398 mangsa banjir membabitkan 141 keluarga yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Selagon, setakat petang ini.

Antara kampung yang masih dilanda banjir adalah Kampung Bakalau, Balibata, Binunuk, Mapait, Suasa, Kangsa, Kukup, Jabang, Lago, Beringin, Lawa, Berumbai, Betandok Lubak, Bingkulu, Luagan dan Padas Valley.

PPS di Kampung Selagon dibuka semula pada Khamis lalu selepas lima hari ditutup apabila banjir pulih di kawasan berkenaan pada 14 Disember.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, hasil pemantauan di Membakut mendapati sebahagian kawasan terbabit banjir sudah pulih sepenuhnya dan rumah mangsa kini selamat didiami.

“Proses penghantaran pulang mangsa banjir dilakukan ke Kampung Baitam Baru, Baitam Laut, Papas dan Kampung Jambatan Baru bermula jam 2 petang hari ini.

“Sebanyak 15 jalan yang terputus hubungan di Membakut sebelum ini juga kini boleh dilalui,” katanya.

Setakat jam 4 petang ini juga, hanya sembilan jalan yang masih terputus hubungan di Beaufort antaranya Jalan Kampung Simpang Empat Bakalau, Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata dan Jalan Lintas Pekan.

Di Tenom, semua 16 PPS diisytiharkan ditutup secara berperingkat bermula semalam hingga jam 2 petang tadi selepas paras Sungai Padas kembali kepada paras normal.

Seramai 87 mangsa membabitkan 27 keluarga yang berada di tiga PPS pagi tadi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Berita Harian X