Ahad, 15 Disember 2019 | 10:43am
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Usaha Jaya dan Sungai Karas, Labis. - Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Usaha Jaya dan Sungai Karas, Labis. - Ihsan Bomba

Mangsa banjir di Johor meningkat mendadak pagi ini

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin buruk dengan Batu Pahat menjadi daerah ketujuh terjejas dengan jumlah mangsa melonjak kepada 3,835 orang, setakat jam 9 pagi ini.

Hujan lebat kini memasuki hari kedua dengan paras sungai utama di seluruh negeri dilaporkan meningkat ke paras amaran dan berbahaya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam kenyataannya berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri ini meningkat kepada 51 dengan daerah paling terjejas Kluang dengan 20 PPS diikuti Kota Tinggi (13), Mersing (10), Segamat (6) dengan Kulai, Muar dan Batu Pahat pula masing-masing membuka sebuah PPS.

Mangsa banjir di Kluang meningkat secara mendadak kepada 1,053 orang daripada 309 keluarga, berbanding hanya 680 orang daripada 187, semalam.

20 PPS di Kluang membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Meng 37, Kampung Parit Hasan (8), Balai Raya Kampung Contoh, Kahang (129), Balai Raya Kampung Bentong Dalam (29), Balai Aktiviti Kampung Melayu Mardi (81), SMK Sri Perdana Jalan Niyor (107).

Turut terbabit, Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh (31), Balai Raya Kampung Chokro (92), Sekolah Agama Kampung Tengah (3), Dewan Kolam Air (59), Balai Raya Parit Haji Hashim (36) dan Balai Raya Kampung SC Jaya Sepakat (6).

Turut terjejas di Kluang, SK Sri Lukut Batu 28 (42), Sekolah Agama Layang-Layang (3), SK Simpang Renggam (55), SK Sri Kencana (162), SK Sri Maju Jaya (2), SJKC Layang Layang 2 (24), Balai Raya Paya Palembang (31) dan SK Sungai Linau (88).

Sebanyak 13 PPS pula dibuka di Kota Tinggi dengan seramai 1,071 mangsa daripada 267 keluarga membabitkan SK Sedili Kecil dengan jumlah mangsa teramai iaitu 153 orang, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (34), SK Sedili Besar (30), Surau Kampung Singapura (35), SK Mawai (66) dan SK Gembut (136).

Dewan Raya Sri Mahkota (163), SK Teluk Ramunia (58), Balai Raya Kampung Sentosa (98), Balai Raya Kampung Perpat (39), SK Seri Setia Jaya (88), Balai Raya Kampung Sayang (25) dan SK Teluk Hutan Lesung (146).

Mangsa banjir di Mersing pula melonjak kepada 1,262 orang daripada 352 keluarga, berbanding hanya 1,007 orang daripada 277 keluarga, semalam.

Sepuluh PPS yang dibuka di Mersing pula ialah SK Tenglu dengan mangsa banjir seramai 232 orang, SK Mersing Kanan (32), SK Air Papan (154), SK Bandar Endau (98), PPK Endau (71) dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin (128).

Turut terjejas di Mersing dengan PPS di SK Labong (173), SK Pusat Air Tawar (139), SK Terang (56) dan Sekolah Agama Pengkalan Batu (179).

Segamat pula meningkat kepada seramai 342 mangsa daripada 91 keluarga, berbanding hanya 230 mangsa banjir daripada 62 keluarga petang semalam.

Ia membabitkan lima PPS iaitu SJKC Ai Chun (134), Dewan Serba Guna Kampung Pekan Air Panas (40), Balai Raya Kampung Usaha Jaya (58) dan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal (3) dan Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kecil (98).

Di Muar pula sebanyak 21 mangsa banjir ditempatkan di Bangunan GPW Maokil, seramai 80 mangsa banjir daerah Kulai ditempatkan di PPS Surau Sungai Siam, Layang-Layang, manakala seramai enam orang mangsa banjir di Batu Pahat ditempatkan di Balai Raya Kampung Haji Kamsam.

Pegawai sekretariat dihubungi memaklumkan empat laluan utama di kawasan Kota Tinggi masih ditutup dengan satu laluan dibuka hanya untuk kenderaan berat

“Empat laluan utama di Kota Tinggi yang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana banjir iaitu Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok dan Jalan Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) di kawasan Kampung Tunjuk Laut selain Jalan Kampung Mawai Lama di Kampung Mawai Lama, berikutan paras air yang dalam dan deras.

“Namun, Jalan Lokheng-Mawai di Kilometer 42 hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja,” katanya.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Segamat pula memaklumkan seramai 169 Orang Asli di Kampung Selai, Bekok, masih terputus hubungan apabila jambatan kampung berkenaan ditenggelami banjir sejak kelmarin.

Berita Harian X