Jumaat, 13 Disember 2019 | 12:02am
MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam menandatangani plak perasmian pengisytiharan Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) sebagai Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam di Denai Alam. Turut hadir Pengasas DARC, Datuk Terry Teo (kiri). - Foto BERNAMA

Yuran menunggang kuda lebih murah untuk warga Shah Alam

SHAH ALAM: Yuran serendah RM50 di Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam di sini, bakal memberi peluang kepada lebih ramai penduduk mempelajari kemahiran menunggang kuda.

Sebelum ini, dikenali sebagai Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC), kelab itu sudah 11 tahun menjadi antara lokasi tumpuan peminat kuda dan inisiatif berkenaan bagi membolehkan orang awam, tanpa mengira latar belakang belajar menunggang kuda.

Pengasasnya, Datuk Terry Teo, berkata pengurungan yuran keahlian dari RM290 setahun kepada RM50 setahun itu akan berkuat kuasa 1 Januari ini.

“Sudah hampir 11 tahun kelab ini dibuka, saya sudah mencapai tujuan dan hasrat iaitu lebih 10,000 individu yang sebelum ini tiada pengetahuan langsung, kini mampu menunggang, mengendalikan kuda, menjaga, memandikan kuda dan sebagainya.

“Jadi sudah tercapai hasrat membantu orang ramai dan menjadikan kelab ini sebagai Kelab untuk keluarga beriadah.

“Dengan kadar baharu ini, penduduk Shah Alam hanya perlu membayar yuran RM50 setahun bagi setiap keluarga manakala keluarga dari sekitar Selangor pula sebanyak RM100 dan RM150 bagi keluarga dari luar Selangor. Kadar RM290 dikenakan kepada keluarga dari negara luar sahaja,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian nama baharu DARC oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad di sini, hari ini.

Terry berkata, beliau mahu tempoh lima tahun akan datang lebih ramai boleh mempelajari kemahiran menunggang kuda.

“Tujuan kami untuk bantu orang ramai belajar menunggang kuda dan bukan untuk keuntungan semata-mata. Semua orang menganggap aktiviti berkuda melambangkan kemewahan dan mahal tetapi saya mahu menjadikannya sebagai kemudahan kepada orang ramai bukan kemewahan,” katanya.

Sementara itu Khalid dalam menghargai usaha kelab itu dan mahu orang ramai merebut peluang yang diberikan itu.

“Saya berharap penduduk Shah Alam dapat mengambil peluang belajar menunggang kuda di samping meluangkan masa bersama keluarga beriadah di kelab ini,” katanya.

Berita Harian X