Selasa, 10 Disember 2019 | 2:08pm
KEADAAN banjir di sekitar daerah Beaufort, pagi tadi. - Foto ihsan APM

Banjir Sabah: Mangsa dipindah di Membakut, Beaufort terus meningkat

BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir dari beberapa kampung di daerah ini dan Membakut yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Kampung Selagon, terus meningkat.

Setakat tengah hari tadi, seramai 70 penduduk daripada 27 keluarga dipindahkan berbanding hanya 22 mangsa pada sebelah pagi.

Pegawai Daerah Beaufort yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Jupery Etok, berkata kebanyakan mangsa dari sekitar Membakut yang dipindahkan kerana banjir di daerah kecil itu semakin merebak.

“Paras air Sungai Padas dan Sungai Membakut semakin meningkat. Kita menjangkakan keadaan banjir di Beaufort dan Membakut semakin buruk, manakala bilangan mangsa yang dipindahkan dijangka terus meningkat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Setakat tengah hari tadi, sebanyak 19 kawasan dinaiki air di Membakut berbanding 15 pada sebelah pagi, manakala di Beaufort kekal empat kampung, iaitu Bakalau, Bakalau Simpang Empat, Binunuk dan Balibata.

Di daerah kecil Membakut, 15 kawasan yang dinaiki air pagi tadi ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baitam Laut, Baitam Baru, Baitam Ulu, Jambatan Baru, Kampung Baru, Papas, Kayai, Poring, Pusak, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut dan Klinik Kesihatan Kampung Sinoko.

Empat lagi kawasan dilaporkan terjejas tengah hari tadi ialah Kampung Takapan, Mendangin, pekan lama Membakut dan Lampijas.

Jalan raya yang terjejas dan tidak dapat dilalui kenderaan, kekal satu di Beaufort, iaitu Jalan Kampung Bakalau Simpang Empat.

Namun di Membakut, laluan terjejas bertambah kepada 13 berbanding 11 pada sebelah pagi, iaitu Jalan Kampung Bambangan, Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Pusak, Jalan Kampung Poring, Jalan Kampung Baitam, Baitam Laut dan Baitam Ulu, Jalan Kampung Jambatan Baru, Jalan Kampung Kayai, Jalan Kampung Baru dan Jalan Kampung Papas.

Dua laluan yang dikenal pasti terjejas setakat tengah hari tadi ialah Jalan Pekan Lama Membakut dan Jalan Kampung Mendangin.

Banjir di Beaufort dan Membakut turut menjejaskan perkhidmatan kereta api bagi laluan pergi balik Kota Kinabalu-Membakut-Beaufort berikutan keadaan landasan di beberapa lokasi yang dinaiki air.

Paras air Sungai Padas dan Sungai Membakut meningkat sejak malam tadi berikutan hujan lebat berterusan.

Bacaan paras air kedua-dua sungai setakat tengah hari tadi ialah 9.02 meter dan 7.47 meter yang melebihi paras bahaya berbanding 8.86 dan 7.45 meter pagi tadi.

Banjir turut dilaporkan di Sipitang dengan seramai enam mangsa dari sebuah keluarga di Kampung Mesapol Lama dipindahkan ke Dewan Serbaguna Sipitang pagi tadi.

Selain Mesapol Lama, kawasan lain terjejas di daerah itu ialah Kampung Sungai Tiga berikutan limpahan air Sungai Lukutan.

Berita Harian X