Sabtu, 7 Disember 2019 | 2:17pm
Rakiah Deris yang terlantar akibat jangkitan kuman di paru-paru ditemani anaknya Che Rahmah Che Sulaiman (kanan) masih tinggal di Masjid Mukim Kubang Sawa berikutan banjir di Kampung Kuala Jambu. - NSTP/Syamsi Suhaimi
Rakiah Deris yang terlantar akibat jangkitan kuman di paru-paru ditemani anaknya Che Rahmah Che Sulaiman (kanan) masih tinggal di Masjid Mukim Kubang Sawa berikutan banjir di Kampung Kuala Jambu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Terpaksa tumpang di masjid 'lari' dari banjir termenung

TUMPAT: Sudah seminggu Rakiah Deris ‘menghuni’ Masjid Mukim Kubang Sawa selepas ‘melarikan diri’ dari banjir yang melanda kampungnya di Kuala Jambu, di sini.

Rakiah, 78, yang terlantar akibat jangkitan kuman di paru-paru menumpang di masjid itu sejak Ahad lalu selepas air Sungai Golok mula melimpah memasuki ke beberapa kampung di Pengkalan Kubor.

Anaknya, Che Rahmah Che Sulaiman, 59, berkata ibunya baru saja dibenarkan pulang ke rumah selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Tumpat sebelum banjir mula melanda kampung.

“Ketika emak tiba sebaik pulang dari hospital, air sudah hampir masuk ke dalam rumah menyebabkan kami mengambil keputusan segera bergegas ke masjid yang menjadi lokasi tahunan untuk kami berpindah.

“Kami enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan kerana tidak selesa lebih-lebih lagi keadaan emak yang terlantar begini agak sukar untuk diuruskan di tempat sesak,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Kubang Sawa, di sini.

Selain keluarga Rakiah lima beranak, masjid yang kelihatan seperti pulau kerana digenangi air sedalam 1.5 meter itu turut dijadikan tempat berlindung bagi kira-kira 35 mangsa daripada lima keluarga.

Difahamkan sehingga hari ini, Kampung Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kuala Jambu, Palas Merah dan beberapa kampung sekitar masih digenangi air kira-kira 0.8 meter disebabkan banjir termenung.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan dari PASUKAN Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) yang turut memberikan bantuan makanan dan rawatan kesihatan percuma.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, berkata pasukannya memulakan misi menghantar ubat dan memberikan rawatan percuma sejak Isnin lalu bermula di Besut, Terengganu diikuti Pasir Mas seterusnya Tumpat.

“Seramai tiga doktor, dua pembantu farmasi serta lapan sukarelawan terbabit dalam misi ini dan selain pusat pemindahan sementara (PPS), kami juga singgah di mana-mana lokasi lain yang dijadikan tempat pemindahan oleh mangsa banjir.

“Selain klinik bergerak, kami juga mengagihkan kit kebersihan serta mengadakan bantuan kecemasan awal psikologikal kepada mangsa,” katanya.

Berita Harian X