Jumaat, 6 Disember 2019 | 4:41pm
PENDUDUK berperahu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Kampung Kubang Sawa, Tumpat, hari ini. - Foto Shamsi Suhaimi
PENDUDUK berperahu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Kampung Kubang Sawa, Tumpat, hari ini. - Foto Shamsi Suhaimi

Penduduk berperahu tunaikan solat Jumaat

TUMPAT: Banjir yang melanda tiga kampung menyebabkan 200 jemaah terpaksa berperahu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Kampung Kubang Sawa, di sini hari ini.

Masjid Mukim Kampung Kubang Sawa yang berada di tengah sawah padi diibaratkan sebuah pulau yang dikelilingi lautan akibat limpahan air dari Sungai Golok setinggi 1.5 meter.

Imam Tua masjid, Mohd Saidi Yunus, 57, berkata situasi sebegitu sentiasa dihadapi pada setiap tahun oleh penduduk dari Kampung Kubang Sawa, Naga Ibu dan Kuala Jambu dan ia sedikit pun tidak mengurangkan jumlah jemaah.

“Kami sudah biasa dengan situasi begini dan tidak menjadi masalah terpaksa mengharung banjir kerana majoriti penduduk memiliki bot sendiri.

“Cuma bagi mengelakkan pekarangan masjid sesak, ramai jemaah berkongsi bot,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Seorang penduduk Kampung Kubang Sawa, Zaki Abu Bakar, 40, berkata walaupun rumahnya hanya 100 meter dari masjid itu, dia terpaksa berperahu kerana di luar rumahnya dinaiki air melebihi satu meter.

“Isteri dan tiga anak saya juga berpindah ke masjid sejak Isnin lalu kerana air masuk sehingga paras paha (0.7 meter) di dalam rumah namun kini mulai surut.

“Kebanyakan penduduk di sini mempunyai bot sendiri bagi memudahkan pergerakan di musim tengkujuh kerana setiap tahun kami terjejas banjir,” katanya.

Selain Masjid Mukim Kampung Kubang Sawa, sebuah lagi masjid yang terjejas dan sering dilanda banjir di Pengkalan Kubor iaitu Masjid Kampung Simpangan.

Bagaimanapun selepas hari keenam dilanda banjir, air di sekeliling masjid itu mulai surut dan jemaah masjid sudah boleh meredah air di paras lutut (0.5 meter).

Berita Harian X