Isnin, 2 Disember 2019 | 9:59pm
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Perasmian Simposium Belia Pendukung Cabaran Perdana, Merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. NSTP/Amran Hamid.

Tunggu laporan penuh hasil siasatan JAS

SINTOK: Kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menentukan sama ada kejadian banjir lumpur di Kupang, Baling, berpunca daripada projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min, berkata projek penanaman durian itu sudah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 2013.

“Projek itu diluluskan pada zaman kerajaan sebelum ini, justeru kita perlu memastikan pemaju mengikut garis panduan ditetapkan dalam EIA dan mereka tidak boleh melanggar peraturan.

“Bagaimanapun berhubung dakwaan penduduk bahawa berlaku banjir lumpur dan pencemaran air di kawasan terbabit, pihak saya masih menunggu laporan penuh daripada JAS serta Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Belia Pendukung Cabaran Perdana 2019 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Pada 20 November lalu, media melaporkan lebih 100 penduduk di kawasan Bayu dan Kupang terjejas akibat banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris, dilaporkan sebagai berkata kejadian itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu membabitkan sekurang-kurangnya lebih 30 rumah.

BH sebelum ini melaporkan aktiviti pembalakan dan penanaman Musang King dengan membabitkan penggondolan Hutan Simpan Gunung Inas, dipercayai menyebabkan sungai yang menjadi sumber air graviti kira-kira 3,000 penduduk Kampung Iboi, musnah apabila bertukar keruh sepenuhnya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X