Ahad, 1 Disember 2019 | 12:49pm
Batang pokok dan ranting kayu tersangkut pada jambatan di Ulu Tembeling. - NSTP/Roselan Ab Malek
Batang pokok dan ranting kayu tersangkut pada jambatan di Ulu Tembeling. - NSTP/Roselan Ab Malek

Banyak kayu hanyut tersangkut di jambatan

JERANTUT: Penduduk berapa kampung di Ulu Tembeling dekat sini terkejut apabila banyak batang pokok dan ranting kayu tersangkut pada jambatan di sungai itu yang digunakan untuk ke Kampung Gusai.

Seorang penduduk kampung Bantal, Japrun Ali, 50, berkata perkara itu disedari selepas air Sungai Tembeling surut, petang semalam.

Beliau berkata, banyak kayu yang hanyut tersangkut di jambatan itu hingga menyekat aliran air.

Katanya, jambatan konkrit bertiang besi itu dibina sebuah syarikat swasta yang mengusahakan ladang di kampung berkenaan dan kemudahan itu turut digunakan oleh penduduk kampung.

“Nasib baik tidak ada kayu balak yang hanyut dan tersangkut kerana jika itu berlaku ia boleh merosakkan atau merobohkan jambatan itu.

“Lambakan kayu yang tersangkut itu berbahaya kerana beban yang berat boleh menyebabkan kerosakan pada jambatan berkenaan.

“Ia juga boleh membentuk kepala air jika terlepas secara serentak kerana aliran air laju secara tiba-tiba boleh juga membahayakan penduduk yang berada di tebing sungai atau yang sedang berperahu,” katanya.

Beliau berkata pemilik syarikat swasta itu telah mengambil tindakan drastik dengan membersihkan kayu yang tersangkut itu dengan menggunakan jengkaut bagi memastikan aliran air lancar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X