Sabtu, 30 November 2019 | 7:53pm
Keadaan air Sungai Tembeling di Kuala Tahan yang kini berada pada paras waspada. - NSTP/Roselan Ab Malek
Keadaan air Sungai Tembeling di Kuala Tahan yang kini berada pada paras waspada. - NSTP/Roselan Ab Malek

Sungai Tembeling mula melimpah ke Kuala Tahan

JERANTUT: Penduduk di Kuala Tahan kini mula resah apabila air sungai dari hulu mulai turun dan beberapa kampung di hilir sungai Tembeling seperti Kampung Pagi dan Kuala Tahan dinaiki air lewat petang tadi.

Keadaan itu turut menyaksikan kawasan letak kenderaan di sekitar restoran rakit Kuala Tahan dipenuhi air hingga memaksa pengusahanya menutup operasi restoran itu.

Seorang penduduk, Sabri Abdullah, 50, berkata pengusaha restoran terapung sudah menarik rakit mereka ke tebing dan jauh dari kawasan arus deras selain menambah bilangan ikatan tali supaya tidak hanyut.

Ketika ini bacaan paras Sungai Tembeling dekat Kuala Tahan mencatat 66.71 meter berbanding bacaan normal 60 meter dan berada pada paras waspada.

Katanya, sekiranya hujan lebat berterusan di kawasan hulu Sungai Tembeling, paras air sungai dijangka terus meningkatkan dan mengakibatkan banjir di sepanjang sungai itu.

Sementara itu, penduduk di Kampung Bantal yang kampung mereka dinaiki air setinggi tiga meter malam tadi, mula menarik nafas lega kerana banjir mulai surut.

Semalam, hujan renyai kadang kala lebat mengakibatkan air Sungai Tembeling melimpah ke tebing sungai Kampung Bantal hingga membanjiri kawasan berhampiran.

Penduduk kampung di Ulu Tembeling iaitu Kampung Mat Daling, Gusai, Bantal, Kuala Sat, Pagi dan Kuching kini berada dalam keadaan berjaga jaga untuk berpindah sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk lewat malam nanti.

Mereka bimbang air dari hulu Sungai Tembeling yang datang dari Hulu Terengganu akan mengalir ke kawasan terbabit.

Sebagaimana tahun sebelum ini, penduduk di Kuala Tahan dan sepanjang Sungai Tembeling sudah membuat persiapan menghadapi banjir termasuk memindahkan barang ke tempat tinggi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X