Rabu, 27 November 2019 | 4:28pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang media di pejabatnya di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang media di pejabatnya di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

2.23 peratus daripada 23,218 maklum balas bantah projek LRT

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerima 540 bantahan atau 2.23 peratus daripada 23,218 maklum balas pemeriksaan awam berhubung projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata sebanyak 97.6 peratus responden bersetuju dengan cadangan pembinaan LRT yang bakal menghubungkan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dengan Bayan Lepas.

“Berdasarkan keseluruhan 23,218 maklum balas diterima, sebanyak 22,678 responden menyokong manakala 540 atau 2.23 peratus maklum balas lagi tidak menyokong.

“Ini adalah pengukuran terhadap penerimaan orang ramai, dan selepas ini kerajaan negeri perlu menjelaskan isu berbangkit melalui pemaju, SRS Konsortium,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, antara perkara yang dibangkitkan orang awam adalah lokasi jajaran yang tidak strategik, kesan terhadap lalu lintas semasa pembinaan, dan gangguan bunyi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri selepas ini akan menunggu surat rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan seterusnya, selain komited untuk mematuhi syarat yang ditetapkan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan LRT mula dipamerkan kepada orang awam di 10 lokasi terpilih selama tiga bulan bermula 19 Julai lalu.

Julai lalu, Kementerian Pengangkutan meluluskan projek skim LRT bagi jajaran KOMTAR ke Bayan Lepas dengan 30 syarat khusus mengikut Seksyen 83 dan 84 (2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Menterinya, Anthony Loke, dilaporkan berkata syarat berkenaan termasuk kelulusan laporan Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) untuk projek LRT Bayan Lepas dan DEIA tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Projek LRT Bayan Lepas adalah antara projek yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) merangkumi jajaran keseluruhan 29.9 kilometer membabitkan 27 stesen.

Jajaran itu akan melalui Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum berakhir di tapak cadangan tebus guna projek PSR.

Berita Harian X