Khamis, 21 November 2019 | 6:01pm
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg diarak menggunakan Sungan sebaik tiba untuk merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke 100 SK Abang Leman Kabong di Saratok, semalam. - Foto Khalid Latip
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg diarak menggunakan Sungan sebaik tiba untuk merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke 100 SK Abang Leman Kabong di Saratok, semalam. - Foto Khalid Latip

Bumiputera kaya tanah tapi masih miskin - Abang Johari

KUCHING: Kegagalan memanfaatkan tanah milik sendiri untuk menjana pendapatan menyebabkan masyarakat Bumiputera di Sarawak terus berada dalam kemiskinan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, Bumiputera di negeri ini sebenarnya kaya kerana mereka memiliki banyak tanah.

Bagaimanapun, katanya, tidak ramai yang mengusahakan tanah itu dengan tanaman komersial, sebaliknya tanah itu terbiar begitu sahaja.

“Kita (Bumiputera) tidak memanfaatkan kekayaan yang miliki untuk menjana ekonomi kita sendiri.

“Banyak tanaman yang mampu memberi pulangan lumayan, tetapi ia tidak dilakukan walaupun kita mempunyai banyak tanah untuk diusahakan dengan tanaman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Forum Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 bagi Zon Selatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata, masyarakat Bumiputera harus sedar dan bersedia untuk mengusahakan tanah mereka bagi menjana pendapatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk peruntukan besar untuk membantu mereka mengusahakan pertanian moden yang menjamin pendapatan lumayan.

Malahan, kerajaan turut melaksanakan pengukuran perimeter bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi membolehkan tanah itu dimiliki secara sah oleh pemiliknya.

“Maksudnya, selepas proses penyukatan itu kita akan mengeluarkan surat hak milik sah kepada mereka.

“Tetapi jangan pula apabila menerima surat hal milik, tanah itu dijual untuk mendapat keuntungan segera,” katanya.

Berita Harian X