Khamis, 21 November 2019 | 3:04pm
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto BERNAMA

Seksyen 6 Kanun Tanah bukan untuk rampas tanah NCR

KUCHING: Sejumlah RM37 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi membayar pampasan tanah Rizab Guna Sama Bumiputera (Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018) yang digunakan untuk membina kemudahan rakyat seperti sekolah dan jalan raya sehingga kini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata peruntukan besar bagi pembayaran pampasan itu jelas membuktikan kerajaan negeri tidak mengambil tanah sewenang-wenangnya seperti didakwa pihak tertentu.

Malah, beliau juga kesal apabila pihak terbabit berterusan menghasut rakyat dengan mendakwa kerajaan negeri mahu merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang disukat mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018.

“Penyukatan tanah Rizab Guna Sama Bumiputera dilakukan untuk mengasingkan tanah NCR atau lebih dikenali Domain Wilayah Pribumi (NTD) daripada tanah negeri (tanah kerajaan).

“Namun, ada pihak berterusan menuduh kerajaan menggunakan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri untuk mengambil tanah NCR, tetapi apabila dicabar membuktikan tuduhan itu, mereka gagal mengemukakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Forum Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 - Zon Selatan, di sini semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, berkata walaupun diserang pihak terbabit dengan pelbagai tuduhan, kerajaan negeri akan terus melaksanakan kerja penyukatan perimeter tanah NCR.

“Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020, Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) mengumumkan peruntukkan sebanyak RM40 juta untuk melaksanakan kerja penyukatan itu,” katanya.

Sehingga Julai lalu, 888,767 hektar tanah NCR sudah disukat mengikut Seksyen 6 dan daripada jumlah itu,724,932 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera untuk pertanian).

Berita Harian X