Rabu, 20 November 2019 | 1:22pm
Keadaan rumah penduduk yang terjejas di Kampung Iboi akibat banjir lumpur kesan daripada projek tanaman Musang King di Gunung Inas. - Ihsan pembaca

Banjir lumpur kerana projek Musang King jejas 10 rumah

BALING: Lebih 10 rumah di Kampung Iboi di sini, terjejas akibat banjir lumpur kesan projek tanaman Musang King di Gunung Inas, malam tadi.

Hujan lebat sejak jam 6 petang itu menyebabkan air Sungai Lata Celak melimpah dan memasuki rumah penduduk sehingga setinggi satu meter.

Bagaimanapun air mulai surut sekitar jam 10 malam tadi.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Daerah Baling, Razak Ahmad, berkata, kejadian banjir lumpur kali ini adalah yang terburuk bagi penduduk Kampung Iboi kerana air masuk sehingga ke dalam rumah.

“Sungai Lata Celak semakin cetek berikutan pasir serta tanah kesan projek itu sudah sama tinggi dengan tebing sungai.

Keadaan rumah penduduk yang terjejas di Kampung Iboi akibat banjir lumpur kesan daripada projek tanaman Musang King di Gunung Inas. - Ihsan pembaca

“Kita harap pihak berkaitan mengambil tanggungjawab ini buatlah sesuatu sama ada tinggikan tebing sungai atau bersihkan pasir serta tanah di dalam sungai itu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau bimbang kejadian lebih buruk mungkin berlaku sekiranya tindakan segera tidak diambil.

“Seperti petang semalam, kawasan penduduk hujan renyai sahaja namun boleh berlaku kejadian banjir lumpur.

“Ini disebabkan hujan lebat di kawasan atas gunung, iaitu kawasan projek tanaman Musang King. Penduduk tidak dapat buat apa-apa persediaan,” katanya.

Keadaan rumah penduduk yang terjejas di Kampung Iboi akibat banjir lumpur kesan daripada projek tanaman Musang King di Gunung Inas. - Ihsan pembaca

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata kejadian banjir itu berlaku selama tiga jam sebelum air mulai surut pada jam 10 malam.

“Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka. Berdasarkan laporan penghulu mukim, 24 rumah terbabit dalam kejadian itu, di mana yang terjejas sekitar 10 rumah.

“Punca kejadian disebabkan hujan lebat di kawasan Gunung Inas yang menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penduduk yang tinggal di bawah,” katanya.

Berita Harian X