Ahad, 17 November 2019 | 3:14pm
Salahuddin berkata, kegagalan memanfaatkan penggunaan media sosial menyebabkan rakyat termasuk pengundi di Tanjung Piai tidak dapat melihat kejayaan PH. - Foto BERNAMA
Salahuddin berkata, kegagalan memanfaatkan penggunaan media sosial menyebabkan rakyat termasuk pengundi di Tanjung Piai tidak dapat melihat kejayaan PH. - Foto BERNAMA

'Komunikasi tak sampai kepada pengundi'

SEREMBAN: Masalah komunikasi dilihat sebagai faktor terbesar yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, semalam.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kegagalan memanfaatkan penggunaan media sosial menyebabkan rakyat termasuk pengundi di Tanjung Piai tidak dapat melihat kejayaan PH mentadbir kerajaan dalam tempoh setahun enam bulan.

Sehubungan itu, katanya, punca kekalahan itu harus diteliti dan dibincang dalam Majlis Presiden bagi mengenal pasti ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

“Fenomena tidak puas hati ini bersifat sementara kerana lazimnya dalam mana-mana PRK akan ada kumpulan menggunakan hak mereka melakukan protes sebagai memberi amaran kepada kerajaan.

“Walaupun ‘bedah siasat’ PRK belum dijalankan, saya dapati isu paling besar sepanjang berkempen di sana adalah komunikasi tak sampai dan banyak cerita kejayaan PH tidak dapat ditonjolkan.

“Mungkin kekuatan media sosial PH perlu ditingkatkan kerana kebanyakan orang kampung hari ini sudah ada telefon pintar.

“Ini trend pemodenan teknologi, saya rasa PH tidak dapat sampaikan komunikasi kepada peringkat paling bawah, jadi itu adalah antara kelemahan yang sangat ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) keempat di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Semalam, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya termasuk calon PH, Karmaine Sardini, yang meraih 10,380 undi.

Mengulas kekalahan PRK Tanjung Piai, Salahuddin ketika berucap pada konvensyen itu berkata, kekalahan majoriti lebih 15,000 undi itu adalah isyarat jelas terhadap PH.

“Bila kita semak keputusan PRK malam tadi, arusnya (pengundi keluar) lebih deras berbanding apa yang berlaku di PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau sebelum ini.

“Kita jadikan ini sebagai loceng amaran yang harus diteliti dengan cermat bagaimana untuk mengorak langkah, bukannya berbangga dengan kedudukan dalam kerajaan ketika ini,” katanya.

Berita Harian X