Jumaat, 15 November 2019 | 5:35pm
KETUA Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh (kiri) ketika sidang media sempena hari pembuangan undi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di IPD Pontian. - Foto NSTP/Mohd Sabran Md Sani

1,341 polis pantau PRK Tanjung Piai

PONTIAN: Seramai 1,341 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk menjalankan tugas mengawal ketenteraman awam dan lalu lintas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Orang tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka untuk keluar menjalankan tanggungjawab mengundi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata kehadiran anggota terbabit bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Kami sudah menggerakkan kekuatan membabitkan 1,341 pegawai dan anggota polis dari semua jabatan termasuk bahagian jenayah trafik dan cawangan khas.

“Semua anggota terbabit akan memastikan perjalanan PRK Tanjung Piai berjalan lancar tanpa ada gangguan yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Mustafa Bakri berkata, jalan utama iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan akan ditutup esok bagi membolehkan proses penjumlahan undi dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Sebagai alternatif pengundi boleh menggunakan laluan di Jalan Al-Sagoff, Jalan Bakek dan Jalan Parit Mesjid di sini, bermula jam 8 pagi hingga keputusan PRK diumumkan,” katanya.

Beliau menasihatkan penyokong parti mengikut peraturan ditetapkan dan tidak menimbulkan gangguan bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

Sementara itu, katanya, sebanyak 35 laporan polis diterima sepanjang tempoh penamaan calon hingga petang terakhir kempen.

Berita Harian X