Jumaat, 15 November 2019 | 4:04pm
AHMAD Faizal Azumu menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
AHMAD Faizal Azumu menjawab soalan lisan pada sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

Perak komited pulih hutan payau bakau

IPOH: Perak komited melakukan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau terutama di kawasan yang musnah akibat pencerobohan haram.

Antara usaha dilakukan ialah program kawalan perosak, rawatan semula dan penanaman semula pokok bakau.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata sehingga tahun ini, tiga kes penebangan haram dikesan dan dua kes kesalahan hutan iaitu pelanggaran syarat lesen membabitkan kawasan paya bakau atau paya laut dikenal pasti.

“Tindakan undang-undang akan diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri terhadap kegiatan penebangan haram dan kesalahan hutan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria (BN-Batu Kurau) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, mengikut Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kerajaan negeri memperuntukkan RM3.22 juta kepada Jabatan Perhutanan bagi menjalankan kerja pemuliharaan dan pemeliharaan membabitkan kesemua spesies pokok di pesisir pantai bagi tempoh 2016 sehingga tahun ini.

Sehingga kini, 6.06 juta anak pokok bakau ditanam di kawasan seluas 1,498.71 hektar di Perak, manakala Rancangan Kerja Hutan Paya Laut Matang bagi tempoh 2010 – 2019 pula berada di peringkat akhir pelaksanaannya.

Pada masa sama, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan penyediaan Rancangan Kerja Hutan Paya Laut Matang bagi tempoh 10 tahun akan datang bermula tahun depan.

Keluasan hutan paya bakau di Perak adalah 42,216.34 hektar iaitu masing-masing 40,521.19 hektar di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Larut dan Matang dan 1,695.15 hektar di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung.

Berita Harian X