Selasa, 12 November 2019 | 10:09am
Anggota polis menunggu giliran bagi menunaikan tanggungjawab ketika pengundian awal di Ibupejabat Polis Daerah Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Tahan mata' untuk mengundi awal

PONTIAN: Walaupun letih dan mengantuk selepas menamatkan waktu kerja selama 12 jam, Koperal Yahya Mohd Ariff, 56, tetap mahu menunaikan tanggungjawab mengundi awal sebelum pulang ke rumah untuk berehat.

Ditemui di pusat mengundi awal bagi pegawai dan anggota polis sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, beliau masih sempat bergurau dengan pemberita.


Anggota Polis menunggu giliran pengundian awa PRK Parlimen Tanjung Piai di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini. - Foto BERNAMA

“Mata dah nampak katil saja ni,” kata beliau berseloroh sebelum disambut dengan ketawa oleh pemberita selepas menjadi pengundi pertama mengundi awal hari ini.

Yahya yang bertugas di IPD berkenaan, berkata beliau segera menuju ke bilik pengundian sebaik menamatkan tugas kerana menyedari mungkin terlepas peluang mengundi, jika pulang ke rumahnya terlebih dahulu.

“Badan memang letih dan mengantuk. Tapi kalau balik rumah dan tidur dulu, nanti leceh untuk bangun tidur dan bersiap untuk datang semula mengundi di sini.

“Lebih baik datang mengundi terlebih dahulu dan selepas ini boleh balik tidur,” katanya yang sudah berkhidmat selama 13 tahun di IPD itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata seramai 280 pegawai dan anggota dijangka mengundi awal hari ini.


Anggota polis mengundi ketika hari pengundian awal di Dewan PERKEP. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Daripada jumlah itu, 18 orang bertugas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, manakala DUN Kukup (210 orang), selain 38 orang sudah berpindah ke luar kawasan serta bersara 14 orang,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, dilaporkan berkata, seramai 280 pegawai dan anggota polis akan mengundi awal hari ini.

Katanya, pengundian awal DUN Pekan Nanas atau Saluran Satu dibuka mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran Dua), waktu pengundian ditetapkan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang,

Sehingga jam 9 pagi, tiga calon iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini; Datuk Dr Seri Wee Jeck Seng (BN) dan Wendy Subramaniam (GERAKAN) hadir ke pusat berkenaan untuk meninjau proses pengundian serta beramah mesra dengan pengundi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai ialah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.

Berita Harian X