Isnin, 11 November 2019 | 6:48pm
Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat, Pelancongan, Iskandar Mirza Mohd Yusof (belakang sebelas dari kiri) mengambil gambar berkumpulan dengan peserta semasa Mega Fam: Reminiscence Culture and Heritage Malaysia di Saujana Hotel, Petaling Jaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

31 wakil media antarabangsa akan perkenalkan Malaysia di luar negara

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan pendedahan mengenai Malaysia di peringkat antarabangsa, Tourism Malaysia membawa 31 wartawan daripada 14 negara untuk mengenali dengan lebih dekat budaya dan tarikan pelancongan di negara ini.

Sepanjang tujuh hari berada di Malaysia, wartawan berkenaan yang dipecahkan kepada dua kumpulan akan dibawa melawat ke beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Wartawan berkenaan dari Australia, Kanada, Perancis, India, Itali, Kazakhstan, Kyrgystan, Uzbekistan, Pakistan, Taiwan, Russia, Turki, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) disasar untuk menceritakan kisah Malaysia di negara mereka.

Selain melihat sendiri budaya masyarakat di Perak membuat labu di Sayong, Kuala Kangsar, mereka juga akan dibawa mengenali permainan tradisional di Kampung Lonek, Negeri Sembilan serta melihat teknik pembuatan keris di Melaka.

Mereka juga akan dibawa melihat kaedah perlombongan bijih timah di Ipoh serta berpeluang melihat demonstrasi silat Melayu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, berkata program pengenalan budaya itu diadakan dengan kerjasama Malaysia Airlines sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Sementara itu, pada sidang media, Iskandar Mirza berkata, Tourism Malaysia turut membuat promosi di beberapa negara termasuk mengambil bahagian dalam program World Travel Market di London minggu lalu.

Program itu diadakan dengan kerjasama beberapa kerajaan negeri serta Malaysia Airlines bagi memberi pendedahan mengenai pakej pelancongan yang ditawarkan pada tahun depan.

Penyertaan dalam pameran pelancongan terbesar dunia itu akan membantu meningkatkan profil Malaysia kepada pelancong asing.

Berita Harian X