Sabtu, 9 November 2019 | 6:21pm
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (empat dari kiri) berselawat pada hari Sambutan Maulidur Rasul 1441H/ 2019 Peringkat Negeri di Stadium Negeri. - NSTP/Ghazali Kori

37 lagi tahfiz, sekolah pondok belum berdaftar di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sejumlah 37 daripada 140 pusat tahfiz dan sekolah pondok yang dikesan beroperasi di negeri ini belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bagi menyelesaikan masalah pusat tahfiz dan sekolah pondok beroperasi secara tidak sah, kerajaan negeri akan tubuhkan jawatankuasa pendidikan khas bagi memastikan institusi itu berdaftar dengan JHEAT.

Beliau berkata, jawatankuasa yang akan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, akan memastikan institusi tahfiz dan pondok di negeri ini beroperasi secara sah bagi mengelak masalah berbangkit, selain memudahkan penyaluran bantuan.

“Kerajaan negeri dan jawatankuasa pendidikan yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat akan berusaha mendaftarkan semua pusat tahfiz dan sekolah pondok bagi memastikan mereka beroperasi secara sah demi menjamin kepentingan serta keselamatan pelajarnya.

“Daripada 140 pusat tahfiz dan sekolah pondok yang dikesan beroperasi di negeri ini, 103 sudah berdaftar dengan JHEAT setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa khas pendidikan itu juga akan menangani masalah keselamatan di semua pusat tahfiz dan sekolah pondok.

“Jawatankuasa pendidikan ini akan memanggil semua pengurusan institusi tahfiz dan pondok untuk mencari kaedah sesuai menangani masalah isu keselamatan dan kita akan anjurkan kursus keselamatan pelajar institusi itu dalam segenap aspek.

“Walaupun kes buli atau penderaan membabitkan pelajar institusi itu tidak dilaporkan di negeri ini, kaedah penganjuran kursus kepada pengurusan dan mudir perlu dilakukan bagi mengelak risiko kejadian itu berlaku,” katanya.

Tegasnya, jawatankuasa pendidikan negeri juga akan menggariskan beberapa panduan terutama berkaitan isu keselamatan yang perlu dipatuhi pengurusan dan mudir pusat tahfiz serta sekolah pondok.

“Kita bercadang memperkenalkan peraturan supaya warden dan guru ditempatkan sepanjang masa di asrama pusat tahfiz dan sekolah pondok sebagai langkah mengelak kejadian seumpamanya berlaku,” katanya.

Kelmarin, pelajar sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, meninggal dunia dipercayai dipukul rakannya, dengan ada kesan lebam dikesan pada badan mangsa.

Berita Harian X