X
Sabtu, 9 November 2019 | 3:35pm
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman menunjukkan statistik kes pada sidang media penyelarasan tindakan penguatkuasaan penyelewengan barang-barang bersubsidi di Sarawak, di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman menunjukkan statistik kes pada sidang media penyelarasan tindakan penguatkuasaan penyelewengan barang-barang bersubsidi di Sarawak, di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak. - NSTP/Hazreen Mohamad

Kaji hukuman berat terhadap penyeludup barang bersubsidi

KUCHING: Hukuman penjara mandatori antara tindakan yang sedang diteliti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam penambahbaikan usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi di negara ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas kumpulan penyeludup bagi memastikan bantuan barangan bersubsidi itu hanya dinikmati oleh rakyat di negara ini.

“Mungkin kita lihat semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, terutama membabitkan semua kes penyeludupan (barangan bersubsidi). Lebih bagus tangkap dan dakwa terus di mahkamah. Itu lebih baik untuk kurangkan penyeludupan.

“Kemudian, kita minta mahkamah kenakan hukuman penjara jika hukuman denda tidak menakutkan penyeludup. Itu antara tindakan sedang kita fikirkan dan sekiranya keadaan masih tidak berubah, mungkin kita tidak tawar lagi kompaun kepada penyeludup ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Penguatkuasaan Penyelewengan Barang Bersubsidi di Sarawak Bersama Agensi Penguatkuasaan Lain, di Pejabat KPDNHEP Sarawak, di sini hari ini.

Di Sarawak, barang bersubsidi seperti gas asli cecair (LPG) diseludup untuk dijual ke Indonesia dengan nilai RM60 hingga RM70 setong, sedangkan barangan terbabit boleh dibeli di negara ini pada kadar RM26.60 atau kurang daripada RM30.

Bukan itu sahaja, minyak masak pek satu kilogram (kg) pula diseludup dan dijual di negara jiran itu sebanyak RM4 per kg, berbanding RM2.50 sahaja di negara ini.

Ketika ini, aktiviti penyeludupan barang bersubsidi disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dan sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Sementara itu, Iskandar ketika mengulas lanjut, berkata bermula tahun ini hingga kini, sejumlah 106 kertas siasatan dibuka pihaknya membabitkan penyeludupan LPG, minyak masak pek satu kg dan tepung gandum di negeri ini.

“Kesemua 106 kertas siasatan itu membabitkan nilai keseluruhan RM2.3 juta yang dirampas pihak penguat kuasa lain di negeri ini. Kebanyakan yang cuba diseludup keluar adalah LPG dan minyak masak,” katanya.

Beliau berkata, kawasan seperti Serikin, Tebedu, Limbang dan Bintulu menjadi lokasi panas penyeludupan kerana kewujudan banyak lorong tikus.

“Kita perlu mengekang secepat mungkin sebarang potensi penyeludupan barang bersubsidi kerana ia sudah menjadi aktiviti yang memberi pulangan besar kepada pelaku,” katanya.

Berita Harian X