Jumaat, 8 November 2019 | 6:08pm

19 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Selagon

MEMBAKUT: Seramai 19 penduduk membabitkan lapan keluarga di Membakut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini hari ini.

Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan berikutan paras air Sungai Membakut meningkat ke paras bahaya iaitu 7.25 meter setakat jam 3 petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam APM) Daerah Beaufort, Leftenan Mayroof Koibil, berkata mangsa yang dipindahkan membabitkan penduduk dari Kampung Baitam, Kampung Jambatan Baru dan Kampung Baru.

“Keseluruhannya, 19 penduduk dipindahkan ke PPS Selagon sejak jam 12 tengah hari tadi berikutan air mula menenggalami kawasan rumah penduduk terbabit.

“Sebanyak 11 kampung dikenal pasti terjejas iaitu Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Sindok, Kampung Lumantak, Kampung Baitam Laut dan Kampung Baitam Ulu.

“Turut terjejas ialah Kampung Jambatan Baru, Kampung Kayai dan Kampung Papas, Kampung Baitam dan Kampung Baru,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mayroof berkata, pihaknya akan terus memantau dan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Semalam, 20 penduduk membabitkan empat keluarga dari Kampung Bambangan dipindahkan sementara ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bambangan.

Bagaimanapun, selepas hampir lima jam berada di pusat pemindahan terbabit, semua mangsa dihantar pulang semula ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir mulai surut kira-kira jam 2 pagi tadi.

Anggota APM melakukan operasi memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir di Membakut. - Ihsan APM
Anggota APM melakukan operasi memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir di Membakut. - Ihsan APM
Anggota APM melakukan operasi memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir di Membakut. - Ihsan APM
Berita Harian X