Jumaat, 8 November 2019 | 5:58pm
Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin, Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol (dua dari kanan) pamer poster spesies ikan dilindungi di Pasar Umum Sandakan di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Enam spesies baharu ikan yu, pari disenaraikan spesies dilindungi

SANDAKAN: Enam spesies baharu ikan yu dan dan pari disenaraikan sebagai spesies dilindungi bermula tahun ini.

Spesies itu adalah yu sirip putih besar atau nama saintifiknya, Carcharhinus longimanus; yu tukul (Sphyrna zygaena); yu tukul parang (Sphyrna mokarran); yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan 2 spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris dan Mobula alfredi.

Ia menjadikan keseluruhannya ada 36 spesies hidupan marin terancam, dilindungi mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985 bertujuan mengelak kepupusan.

Kesalahan memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut spesies ikan dilindungi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol, berkata sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan, penting untuk orang ramai, khususnya komuniti nelayan mengetahui jenis hidupan marin yang dilindungi itu.

“Kita mengambil inisiatif mengadakan program penerangan di 17 daerah susulan penyenaraian terbaru itu. Ini termasuk menampal poster bersesuaian di lokasi strategik seperti pasar ikan,” katanya selepas menghadiri Program Sosialisasi Jabatan Perikanan Sabah di Pasar Umum Sandakan, di sini hari ini.

Lawrence turut mendedahkan ada beberapa spesies ikan dilindungi itu, termasuk yu paus turut dijual di pasar di negeri ini dan apabila pemeriksaan dilaksanakan, penjual mendakwa ikan tersangkut pada pukat atau tidak mengetahui ia dari spesies dilindungi.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan terus memberi penerangan kepada orang ramai agar membuang semula spesies ikan dilindungi ke laut jika ia tertangkap atau tersangkut pada pukat, selain ikan bersaiz kecil bagi memulihara kelestarian sumber marin di negeri ini.

“Ada 26 daerah di Sabah, dengan sekurang-kurangnya 50 pasar, termasuk pasar tamu beroperasi di seluruh negeri. Ada beberapa kes sebelum ini iaitu rampasan ikan daripada spesies dilindungi dan ambil tindakan tamatkan permit menjual ikan jika didapati mereka menjual spesies dilindungi,” katanya.

Berita Harian X