Ahad, 3 November 2019 | 3:05pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Abd Rahim Rahmat
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Abd Rahim Rahmat

KEMAS tangani miskin bandar

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan menangani kemiskinan bandar menerusi program pemerkasaan usahawan wanita.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata Program Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran KEMAS membuka peluang kepada wanita menambah ilmu perniagaan dalam talian dan membantu keluarga daripada terus berada dalam kategori miskin bandar.

Katanya, WINS yang membawa tema ‘Dari Desa ke Global’ sudah memasuki siri keenam dengan bermula di Kelantan, Perak, Johor dan Negeri Sembilan dengan penyertaan lebih 16,000 wanita.

“WINS Wilayah Persekutuan ini agak berbeza dengan menampilkan kerjasama bersama dua badan bukan kerajaan, iaitu Persatuan Wanita UNITY Malaysia (PERWIM) dan Women Empowerment-Leadership and Development Task Force (WELeaD).

“Peserta disajikan dengan perkongsian ilmu oleh tokoh dan ikon perniagaan dari pelbagai bidang termasuk korporat, perundangan, pendidikan dan kesihatan.

“Kita lihat usahawan wanita ini tidak ada masalah untuk mengeluarkan produk, namun memerlukan ilmu pemasaran, pembungkusan dan penjenamaan yang lebih jitu,” katanya selepas melancarkan program Wacana Ilmu, WINS, di sini, hari ini.

Selain itu, Rina juga berkata, pada tahun ini KEMAS Wilayah Persekutuan mendapat peruntukan sebanyak RM1.165 juta bagi melaksanakan pelbagai program di bawah pendidikan kemahiran.

“Sebanyak 208 siri dengan sasaran penyertaan lebih 7,000 peserta bagi program ini.

“KEMAS Wilayah Persekutuan juga sudah melaksanakan ekosistem ‘Quick Win’ iaitu suatu sistem rangkaian bagi membantu peserta untuk lebih berdaya saing dan berjaya pada peringkat global.

“Melalui sistem ini juga, ia mampu memperlihat keberkesanan pusat literasi komputer KEMAS sebagai tempat yang membantu dan membimbing peserta,” katanya.

Berita Harian X