Rabu, 30 Oktober 2019 | 9:01pm
CHEN Choon (tiga, kanan) melihat drone bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) Mohd Famey Yusoff (dua, kanan) sempena Demo Intipan Senyap Menggunakan Drone oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor. - Foto BERNAMA
CHEN Choon (tiga, kanan) melihat drone bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) Mohd Famey Yusoff (dua, kanan) sempena Demo Intipan Senyap Menggunakan Drone oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor. - Foto BERNAMA

Banjir di Johor pulih sepenuhnya

MUAR: Keadaan banjir di Johor pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, berkata PPS yang beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kajang, Batu Pahat menjadi yang terakhir ditutup lewat petang tadi.

“PPS di SK Sungai Kajang yang menempatkan 16 mangsa dari tiga keluarga yang terjejas banjir sebelum ini ditutup pada jam 7 petang tadi.

“Terdahulu, beberapa PPS yang dibuka di tiga daerah mulai ditutup secara berperingkat sejak jam 9 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Chen Choon berkata, PPS di Masjid Al Muhajirin Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai yang menempatkan 17 mangsa banjir ditutup jam 9 pagi tadi.

“Ia disusuli penutupan PPS di SK Seri Kampung Tengah Renggam, Kluang yang menempatkan 51 mangsa dari 15 keluarga ditutup pada 12 tengah hari tadi. PPS di Balai Raya Kampung Parit Haji Hashim, juga di daerah yang sama pada jam 2 petang tadi.

“PPS yang beroperasi di SK Sungai Linau pula ditutup pada jam 4 petang tadi yang sebelum ini menempatkan 26 mangsa banjir dari tujuh keluarga dan terakhit di PPS di SK Sungai Kajang,” katanya.

Berita Harian X