Ahad, 27 Oktober 2019 | 7:40pm
Wakil NGO menyampaikan kerusi roda kepada Fairol Haziri (empat dari kanan) di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Wakil NGO menyampaikan kerusi roda kepada Fairol Haziri (empat dari kanan) di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Ibu bayi ajaib terima kerusi roda

KOTA BHARU: Seorang wanita yang terlantar hampir setahun selepas pembedahan membuang tumor di kepala, menerima sumbangan kerusi roda boleh laras bagi membolehkannya dibawa keluar untuk mengambil angin sebagai sebahagian proses rawatan.

Kamareeah Arwea, 36, yang melahirkan anak dalam keadaan koma lima bulan lalu, menerima sumbangan daripada syarikat automobil, Mayazia Sdn Bhd.

Sumbangan diserahkan menerusi GOHEK, iaitu gabungan empat badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada The Third Force, Geng Tolong Orang, Ikasih dan Cempaka Merah Asnaf Solution di rumah sewanya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini.

Kisah penderitaan Kamareeah yang mengandung dan melahirkan anak ketika koma turut tersebar dan mendapat liputan media.

Bayinya, Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia lima bulan digelar sebagai bayi ajaib.

Suaminya, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata hampir setahun isterinya terlantar dan hanya bergantung kepada susu untuk meneruskan hidup.

“Doktor sudah mencadangkan supaya dia diletakkan di atas kerusi roda dan dibawa keluar mengambil angin yang boleh dijadikan sebagai rawatannya.

“Dia memerlukan kerusi roda khas kerana tubuhnya tidak kuat untuk menampung sendiri tanpa sokongan,” katanya.

Setiap hari Fairol Haziri membuat urutan di kedua kaki dan tangan isterinya seperti disarankan doktor selepas menguruskan rutin harian termasuk memberi susu menerusi tiub dan memandikannya.

Dia juga akan membawa anak sulungnya, Farras Hazim berusia kira-kira dua tahun tidur bersama dalam bilik yang menempatkan Kamareeah bagi membiasakan anaknya itu dengan keadaan ibunya.

“Saya perlu berhati-hati menguruskan isteri kerana sebahagian tempurung kepalanya sudah dibuang ketika menjalani pembedahan membuang tumor tahun lalu.

“Doktor ada bertanyakan sama ada ingin memasukkan semula tempurung (kepala) itu atau tidak, iaitu menggantikannya dengan titanium, namun selepas mengetahui risikonya, saya enggan dan biarlah isteri berkeadaan begitu,” katanya.

Mengenai bayi mereka, Fairol Haziri berkata, Farah Hanis membesar seperti bayi lain, namun beberapa hari lalu sudah menjalani pemeriksaan imbasan (MRI) di bahagian kepala berikutan ada satu benjolan ketika awal kelahiran dan dikhuatiri ada kaitan dengan penyakit ibunya.

Bagaimanapun, keputusan MRI itu menunjukkan keraguan, malah benjolan itu sudah tidak kelihatan.

“Alhamdulillah, Farah Hanis membesar dengan baik dan semakin montel kerana mendapat susu badan ibu susuan sehingga hari ini,” katanya.

Berita Harian X