Ahad, 27 Oktober 2019 | 2:53pm
Datuk Amar Douglas Uggah (dua dari kanan) pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak, di Kuching, malam tadi. - Ihsan DCMO

Sektor penternakan Sarawak terus berkembang

KUCHING: Sarawak meraih pulangan berjumlah RM263 juta nilai eksport hasil industri penternakan, tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, itu pencapaian yang amat baik dan petunjuk positif untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil ternakan negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah yakin masa depan industri penternakan Sarawak amat cerah.

“Saya juga percaya, nilai eksport hasil ternakan juga akan terus meningkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Awang Johari Awang Mustapha; Pengarah JPV Sarawak, Dr Adrian Susin dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Dr Alvin Chai.

Uggah berkata, industri penternakan boleh menjadi sektor utama dalam mencapai cita-cita negeri untuk menjadi pengeksport produk makanan dan makanan bersih menjelang tahun 2030.

“Justeru tugas pertama JPV Sarawak adalah untuk meningkatkan tahap kecekapan diri (SSL) supaya kita dapat meningkatkan jumlah eksport yang kita sasarkan.

“Pada masa ini kita mencapai 112 peratus SSL untuk daging khinzir, 100 peratus untuk telur ayam, 94 peratus untuk unggas, 45 peratus untuk susu, 12 peratus untuk daging lembu tetapi untuk daging kambing hanya 0.5 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, JPV Sarawak kini harus memberi tumpuan kepada pengeluaran daging lembu, hasil tenusu dan daging kambing.

Katanya lagi, Sarawak kini bebas dari penyakit yang boleh mengancam industri penternakan seperti selesema burung, Demam Babi Afrika serta penyakit mulut dan kaki.

“Keadaan itu harus kita manfaatkan untuk meningkatkan pengeluaran, seterusnya berusaha mempertahankan agar Sarawak terus bebas daripada ancaman penyakit terbabit,” katanya.

Berita Harian X