Sabtu, 26 Oktober 2019 | 5:47pm
Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad (kanan) ketika menziarahi anak Allahyarham Kamarul Sharizam Kamarudin meninggal dunia tiga jam selepas pulang menunaikan umrah di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina, Taman Satria, Senawang. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Kerajaan negeri jamin pendidikan enam beradik hilang bapa

SEREMBAN: Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan akan memastikan enam anak kepada Allahyarham Kamarul Sharizam Kamarudin yang meninggal dunia tiga jam selepas pulang daripada menunaikan umrah, Selasa lalu, mendapat pendidikan sempurna.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad, berkata beliau mendapat arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk melawat anak yatim berkenaan bagi mendapatkan maklumat terperinci selepas berita mengenai keluarga itu dilaporkan.

Katanya, kebajikan mereka perlu diberi keutamaan kerana mereka masih bersekolah.

“Saya mewakili Menteri Besar perlu mendapatkan maklumat lengkap dan dokumen penting anak yatim ini bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Mereka memerlukan bantuan bulanan secara berterusan dan buat masa ini, kami nampak bantuan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah dan bantuan pengangkutan ke sekolah sebanyak RM50 sebulan akan diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tiga daripada enam beradik berkenaan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina, Senawang, di sini, hari ini, dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai.

Mokhtar berkata, Aminuddin akan melawat enam beradik itu dalam masa terdekat selepas mendapatkan maklumat terperinci.

“Mungkin beliau akan membawa wakil daripada jabatan tertentu seperti Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat keperluan enam beradik ini,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Shahril Kamarudin, 35, adik kepada Kamarul Sharizam berkata, ketika ini ramai yang memberi sumbangan kepada enam beradik itu, namun dia berharap akan ada bantuan secara bulanan secara tetap daripada agensi tertentu.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar kerana mengambil berat mengenai enam beradik ini. Insya Allah ia sedikit sebanyak membantu kami menguruskan pendidikan dan kebajikan mereka,” katanya.

Kamarul Sharizam meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang menunaikan umrah, jam 5.05 petang Selasa lalu sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu tidak sihat.

Sebelum ini arwah menguruskan sendiri enam anaknya meskipun mengalami empat penyakit selain sudah berpisah dengan isteri.

Berita Harian X