Sabtu, 26 Oktober 2019 | 5:15pm

Pelamin tenggelam akibat banjir

KUALA SELANGOR: Sepasang pengantin memulakan kehidupan mereka dengan kenangan sukar dilupakan apabila majlis kenduri terpaksa dipindahkan ke Masjid Nurul Huda, di sini, susulan banjir di Kampung Parit Mahang, Jeram, hari ini.

Ia berikutan halaman rumah pengantin perempuan, Siti Nabilah Pakhruddin, 28, dinaiki air setinggi lebih satu meter selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Pasangan itu juga tidak sempat bersanding berikutan pelamin yang dipasang sehari lebih awal ditenggelami banjir.

Siti Nabilah berkata, majlis perkahwinannya dengan pasangan, Amirul Abd Aziz, 30, dihadiri kira-kira 500 tetamu termasuk ahli keluarga, jiran dan penduduk kampung.

“Pada awalnya, saya sekeluarga menyangka hujan akan reda sebelum majlis perkahwinan bermula hari ini. Namun, pada jam 6 petang semalam, air melimpah masuk ke halaman, seterusnya memasuki rumah hingga menenggelamkan pelamin yang sudah dipasang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Siti Nabilah bersyukur majlis perkahwinannya tetap dihadiri tetamu meskipun mereka terpaksa meredah hujan lebat dan kawasan dinaiki air.

Halaman rumah pengantin dinaiki air setinggi lebih satu meter selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Keadaan banjir di Kampung Parit Mahang. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Keadaan banjir di Kampung Parit Mahang. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

“Saya bersyukur majlis berjalan lancar dan seluruh ahli keluarga saling membantu. Ini kenangan untuk saya dan suami yang tak akan dilupakan sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Amirul mengakui resah apabila hujan lebat tidak berhenti.

“Siapa sangka, hujan lebat tidak henti dari semalam menyebabkan rumah isteri dinaiki air hingga paras lutut.

“Namun, saya serta isteri meneruskan majlis perkahwinan. Alhamdulillah, tetamu tetap datang meraikan kami berdua walaupun terpaksa meredah hujan dan banjir,” katanya.

Pasangan pengantin, Amirul dan Siti Nabilah bersama keluarga mengadakan majlis perkahwinan di Masjid Nurul Huda, Kampung Parit Mahang, Jeram selepas kediaman mereka dinaiki banjir. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Berita Harian X