Khamis, 24 Oktober 2019 | 1:29pm
Anak Arwah, Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, Muhammad Haikal Nashriq Kamarul Sharizam, 13, (dua dari kanan belakang) bersama adiknya Qaseh Al-Qausar Kamarul Sharizam, 2, (kiri belakang), Muhammad Harraz Nashriq Kamarul Sharizam, 11, (kanan belakang), Muhammad Azrin Nashriq Kamarul Sharizam, 9, (kanan depan), Qaseh Nurqisya Irdani Kamarul Sharizam, 4, (kiri depan) serta Qaseh Irdani Qaisara Kamarul Sharizam, 7, (dua dari kiri depan) ketika ditemui di Pusat jagaan anak-anak yatim Walidaina (PUJAYWA) T

'Ayah memang garang, tapi hatinya baik'

SEREMBAN: Kehilangan ayah secara mengejut memang cukup dirasai oleh enam beradik ini, sekali gus menyebabkan mereka kini berharap kasih dan berlindung dengan saudara mara.

Pemergian ayah mereka, Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, yang meninggal dunia selepas tiga jam kembali dari menunaikan umrah meninggalkan kesan mendalam kepada adik bongsu, Qaseh Al Kausar, berusia dua tahun.

Anak kedua dari enam beradik itu, Muhammad Harraz Nasriq Kamarul Sharizam, 11, berkata, memang mereka terlalu sedih kerana ayahlah tempat bergantung hidup.

“Ada masa ayah agak garang kalau kami nakal tapi dia seorang yang baik, hilang sudah tempat kami nak bermanja kerana dialah ayah dan ibu kami.

“Pemergian ayah amat mengejutkan kami adik-beradik, kami sekelip mata seperti anak yatim piatu.

“Adik (Qaseh) selalu menyebut nama ayah (arwah), mungkin dia rindu dan tak tahu papa sudah tiada lagi. Memang adik rapat dengan ayah.

“Arwah ayah ada pesan pada saya untuk jaga adik-adik kerana abang sulung (Muhammad Haiqal Nashriq, 13) ada masalah autisme,” katanya ditemui selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Forest Height, Senawang di sini, pagi tadi.

Sebelum ini Kamarul Sharizam, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang menunaikan umrah dan meninggalkan enam anak berusia dua hingga 13 tahun.

Pada Ogos lalu dilaporkan Kamarul Sharizam yang hidup susah, perlu menjaga enam anaknya sendiri di Taman Politeknik, di sini.

Dia menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan tidak mampu bekerja selain perlu membesarkan semua anaknya selepas bercerai dengan isterinya dua tahun lalu.

Disebabkan itu, dia mengambil keputusan menyerahkan empat anaknya kepada rumah kebajikan demi masa depan mereka.

Sementara itu, adik Kamarul, Mohd Zatullah Kamarudin, 27, berkata Muhammad Harraz Nashriq, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan olehnya.

“Anak yang sulung, Muhammad Haikal Nashriq yang mengalami masalah autisme akan menetap bersama kakak saya, Norul Arshada Kamarudin, 29, di Seremban kerana rumahnya berdekatan sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

“Sementara itu, Qaseh Irdanu Qaisara, 7, dan Qaseh Nurqisha Irdani, 4, akan dijaga sepupu saya, manakala Qaseh Al-Qausar, 2, kini dijaga jiran yang sedang melengkapkan proses untuk mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

Mohd Zatullah berkata, semua enam beradik itu akan menetap di sekitar Seremban supaya kebajikan mereka mudah dipantau.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka sekeluarga bolehlah terus ke akaun bank CIMB 7025199094 Kamarul Shahril Kamarudin (adik arwah).

Berita Harian X